Nasional

Kekal patuhi SOP demi putuskan rantaian penularan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa mematuhi segala SOP keselamatan dan kesihatan sebagai ikhtiar bagi memutuskan penularan pandemik wabak Covid-19.

Baginda mengingatkan demikian ketika berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Hidayah Titi Beratap, Simpang Empat petang tadi.

Titah baginda lagi, memandangkan kita masih belum berjaya memutuskan penularan wabak Covid-19 sepenuhnya maka seluruh umat Islam di negeri Perlis ditegaskan untuk terus berhati-hati dan melaksanakan ketetapan mengikut garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh MAIPs, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan semula wabak ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyerahan agihan zakat kepada 10 orang penerima golongan asnaf dari kalangan anak kariah masjid berkenaan.

Terdahulu, pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis turut menyampaikan ceramah bertajuk ‘Bahaya Najis Dadah dan Ketum’ selain turut dilaksanakan promosi pendaftaran keahlian sukarela dan sukarelawati oleh Rejimen 504 Askar Wataniah dan peluang menyambung pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs.

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button