Mahkamah

Pengurup Wang, Omar Ali dapat ganjaran Allah bantu Yayasan Akal Budi

Kes perbicaraan Ahmad Zahid

NAMA Omar Ali menjadi sebutan beberapa saksi pendakwa yang tampil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes perbicaraan yang membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

‘Populariti’ Omar Ali membuatkan kalangan wartawan yang membuat liputan kes perbicaraan Ahmad Zahid yang bermula sejak tahun lepas, ternanti-nanti akan kemunculan saksi pendakwa yang merupakan seorang Pengurup Wang.

Omar Ali Abdullah, 48, akhirnya tampil sebagai saksi ketiga hari ini iaitu saksi pendakwa yang ke-81 selepas seorang Pengurus Pentadbiran berusia 60 tahun, Wong Hie Siong tampil memberi keterangan.

Untuk rekod, pihak pendakwaan menampilkan tiga orang saksi baharu pada prosiding sambung bicara di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Memiliki syarikat iaitu Marhaba Enterprise Sdn. Bhd., isteri Omar Ali, Kamarunisah Ahmad yang sebelum ini telah tampil sebagai saksi dalam kes perbicaraan membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datoh, memiliki syarikat yang berdaftar di bawah Ekares Sdn. Bhd.

Satu lagi syarikat milik isterinya ialah AB One Sdn. Bhd. (AB).

Omar Ali berkata, syarikat Marhaba Enterprise Sdn. Bhd., yang ditubuhkannya pada tahun 2003 menjalankan perniagaan tukaran wang asing (foreign currency).

Omar Ali juga mengakui, beliau mengenali tertuduh sejak beliau berusia awal 20an dan merupakan orang kampung Bagan Datoh.

“Syarikat saya sekarang ialah di Plaza Fahrenheit, membayar sewa bulanan RM11,500 dan mendapat lesen dari Bank Negara Malaysia,” katanya.

Omar Ali sudah biasa dalam perniagaan jual beli currency dan apabila beliau diminta untuk membantu memasukkan wang ke dalam akaun Yayasan Akal Budi, beliau akur.

“Datuk Seri (tertuduh) ada bagitahu saya wang itu semua dari sumbangan untuk tujuan kebajikan. Jika saya membantu, tukarkan wang tersebut kepada cek, saya juga akan mendapat ganjaran.

“Ganjaran yang saya dapat ialah dalam bentuk pahala kebaikan hasil dari pertolongan saya,” katanya kepada mahkamah.

Menjawab solan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Jeffry Ong apakah beliau pernah bertanya kepada tertuduh tentang cek-cek yang diserahkan kepada tertuduh,  Omar Ali berkata:

“Saya sendiri yang tak nak tanya. Kenapa tak tanya? Sebab Datuk Seri kenal saya dari kampung. Benda ini saya tak boleh tanya. Bukan orang asing antara saya dan tertuduh.”

Omar Ali juga mengakui, beliau biasa sembahyang (menunaikan solat) di Masjid Besar Yayasan Al Bukhary di Jalan Hang Tuah.

“Selalu sembahyang Jumaat di sana. Saya tidak tahu siapa punya. Ada nama di sana.

“Yayasan Akal Budi milik Datuk Ahmad Zahid, sebagai apa? Itu saya tidak tahu. Yayasan Akal Budi yang saya tahu ialah sebuah badan yang buat amal jariah.

“Siapa uruskan, semua itu saya tidak tahu,” kata Omar Ali kepada soalan yang dilontarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Merujuk kepada perenggan 10, Omar Ali dalam keterangan bertulisnya  mengakui, telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya, bertanya jika beliau mempunyai masa kerana ingin memberikan wang tunai daripada Yayasan Al Bukhary.

Timbalan Pendakwa Raya: Bagaimana dapat panggilan dari seorang lelaki yang tidak dikenali?

Saksi: Dia call nombor saya. Saya turun. Saya tak tanya kenapa dia datang nak jumpa. Jumpa di Marhabah. Senang nak bawa masuk duit dalam kereta.

Omar Ali berkata, beliau tidak berani untuk membawa sejumlah wang yang banyak (cash of big amount), tidak mahu berulang alik. Beliau minta cek dengan rakan-rakan yang dikenalinya.

Timbalan Pendakwa Raya: Mengapa minta cek dengan rakan yang kamu kenal?

Saksi: Saya kenal, baru b oleh minta tolong. Kalau saya tak kenal, saya tak boleh minta tolong. Sebab nak bank-in pada bank Yayasan.

Timbalan Pendakwa Raya: Tukar wang tunai kepada cek tapi dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co. Tahu kenapa diminta oleh tertuduh? Bukan masuk ke dalam Yayasan Akal Budi?

Saksi: Yang itu saya tak tahu. Saya ikut arahan sahaja.

(Pertukaran dibuat di rumah Datuk Seri Ahmad Zahid di Country Heights di Kajang – kata Omar Ali).

Omar Ali turut memberitahu mahkmah, pertemuannya dengan Ahmad Zahid adalah untuk menyerahkan slip bank kepada tertuduh dan hanya di Kajang sahaja penyerahan itu dibuat.

Kata Omar Ali, beliau pergi sendirian tanpa ditemani sesiapa dan Ahmad Zahid berjumpa dengannya, juga berseorangan.

Beliau juga memastikan, sebelum mengeluarkan (issue) cek, wang di dalam akuan syarikat Ekares mencukupi.

“Untuk menunjukkan akaun aktif, saya juga tidak bincang dengan isteri saya. Saya yang tentukan jumlah (amount) masuk Ekares. Bayar Lewis & Co pun saya tentukan amount.

“Saya akan pergi masukkan duit tiga kali sehari. Kalau rajin, empat kali dan saya akan pergi ke cawangan-cawangan bank yang berbeza.

“Kemasukan wang secara beransur-ansur sehingga genap wang. Contoh, RM500,000. Paling besar saya masukkan wang ialah RM45,000 dalam akaun Ekares.

“Saya tidak terus masuk sebab saya tak tahu bayar lebih atau bayar kurang pada Yayasan Akal Budi,” kata Omar Ali.

Soalan terhadap Omar Ali bersambung selepas mahkamah berhenti rehat pada waktu tengah hari.

Kata Omar Ali, beliau akan pergi ke tiga cawangan bank dalam sehari untuk memasukkan RM45,000, RM30,000 dan RM35,000.

“Dan kalau rajin, saya pergi ke cawangan keempat. Saya buat transaksi begini kerana bank tidak terima sekali gus. Saya tidak pergi ke satu branch (cawangan).

“Saya takut, saya bawa wang tunai. Saya tak nak orang follow saya dan saya takut, inside bank job,” ujar Omar Ali tentang tindakannya pergi ke beberapa cawangan untuk memasukkan wang.

Omar Ali turut memberitahu mahkamah, semua wang yang dimasukkan adalah wang sumbangan (derma) dan beliau tidak pernah membuat catatan.

“Wang semua wang donation. Saya tak guna. Ini one way bukan two way (bank-in). Tak perlu buat catatan kerana ini round figure.

“Saya juga tidak ada bukti serahan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid. Tidak ada apa-apa bukti pasal duit ini. Saya terima sama jumlah (amount), serah sama amount. Tidak ada nak simpan apa-apa bukti,” jelas Omar Ali.

Sekali lagi Omar Ali memberitahu mahkamah, semua duit dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co seperti mana diarahkan kepadanya.

Apabila diminta membuat pengecaman Bankers Cheque, Omar Ali berkata, “Tuan kata panggil saya cam, saya tak boleh cam. Cam tak cam, saya tak tahu, saya tak pasti.

“Saya biasa terima Bankers Cheque tetapi yang ini, saya tidak boleh pasti.

“Saya ikut kehendak saya. Saya nak buat, saya buat. Saya beranggapan tidak perlu minta kebenaran kerana contoh, macam duit itu saya pakai buat rolling business.

“Tak efek apa- apa. Tak perlu minta apa-apa kebenaran. Saya tak minta (komisyen), kadang-kadang pun saya tak pasti. Kalau bagi, saya ambil. Saya tak minta komisyen, mereka yang beri.

“Hal ini saya tidak beritahu pada tertuduh kerana macam saya sebut tadi, saya buat sendiri, saya tak ada idea nak tanya. Tak perlu nak tanyalah. Keputusan saya, saya buat sendiri.

“Orang nak bagi, saya ambil. Tak perlu nak tanya dua-dua orang. Ini pasal saya buat, saya punya kerja. Apa yang penting saya jaga amanah ini duit donation (sumbangan/derma).

“Tanggungjawab saya buat the best. Part of my charity, bank-in atau bagi cek. Ya, I have done my job. Walaupun tiada apa-apa bukti sokongan, itu ada. Saya bercakap saya berjaya buat kerja. Saya pun tak ambil duit ini,” ulas Omar Ali.

Ditanya apakah tertuduh puas hati dengan kerja yang dilakukan oleh Omar Ali?

Saksi:Itu saya tak pasti. Ini duit charity, buat masjid. Buat kerja amal jariah, dapat ganjaran Allah. Saya orang kampung. Benda ini betul. Saya pun buat semua ini. Saya tidak apat apa-apa ganjaran. Ganjaran dari Allah (yang Omar Ali dapat).

Pemeriksaan balas ke atas Omar Ali akan dibuat oleh barisan peguam Ahmad Zahid esok petang. – SM

(Visited 582 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button