Nasional

PKP2.0: PM umum pakej Permai bernilai RM15 bilion

KERAJAAN mengumumkan pakej khas bantuan rangsangan ekonomi bagi memberi suntikan kepada individu dan sektor perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0.

Pakej tersebut dinamakan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) adalah kesinambungan daripada empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion.

Justeru, peruntukan sebanyak RM15 bilion diberi demi memastikan kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat terjamin ketika PKP2.0 berkuat kuasa.

Permai dikatakan menambah baik kemudahan sedia ada yang akan berteraskan kepada tiga matlamat iaitu memerangi wabak Koronavirus (Covid-19), memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Permai yang berteraskan kepada tiga matlamat tersebut.

“Di bawah matlamat pertama memerangi wabak Covid-19, kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion, merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM), dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga agensi agensi lain yang terlibat.

“Matlamat kedua pakej bantuan Permai ialah meneruskan usaha bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan PKP, terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.

“Bagi Matlamat Ketiga iaitu Menyokong Kelangsungan Perniagaan, Kerajaan memahami sepanjang tempoh PKP, semua jenis perniagaan menghadapi pelbagai cabaran termasuk kesukaran dalam menguruskan aliran tunai, perbelanjaan utiliti dan sewa premis.”

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Permai dalam perutusan bantuan khas PKP yang diumumkan tadi.

Katanya, antara perkara disentuh dalam pengumuman Permai itu termasuklah pemberian moratorium, penambahbaikan i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pelbagai bantuan lain yang diberikan secara bersasar.

Dalam pengumuman sama juga beliau turut memperuntukan RM200 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

Ini termasuklah bantuan baik pulih kerosakan infrastruktur kecil, rumah mangsa banjir serta meringankan beban rakyat akibat bencana alam itu.

“Di samping itu, sebanyak 50 juta ringgit telah disalurkan kepada  Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah NADMA bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut.

“Saya menaruh penuh kepercayaan, walaupun kita menghadapi 1,001 masalah, namun kita juga mampu mengilhamkan 1,001 penyelesaian,” ujarnya. – SM

(Visited 501 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button