Nasional

PKP: Waktu pengeluaran wang dari mesin ATM dihadkan

JANGAN pula terlupa. Pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas pukul 8 malam, tak dapat keluarkan duit. Kenapa? Sebab waktu operasinya sudah berubah.

Memetik laporan BERNAMA, waktu operasi mesin ATM kini dihadkan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam sahaja bagi mengawal pergerakan orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ramai yang memberi alasan ingin melakukan pengeluaran wang di mesin ATM 24 jam untuk keluar dari rumah termasuk ketika lewat malam.

“Ramai yang keluar lebih daripada waktu ditetapkan sehingga tengah malam pun masih ada yang keluar kononnya ada kecemasan untuk keluarkan wang dan sebagainya. Jadi, operasi mesin ATM dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

“(Selepas ini) tidak ada alasan lagi untuk keluar sehingga tengah malam untuk keluarkan wang di mesin ATM,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas Jwatankuasa Menteri-Menteri Mengenai PKP, di Perdana Putra hari ini.

Mengenai operasi penghantaran makanan pada bulan Ramadan yang dijangka bermula minggu depan, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara tersebut.

“SOP terutamanya dari segi penghantaran dan sebagainya sewaktu Ramadan akan dikeluarkan dalam masa dua tiga hari lagi.

“Kerajaan tahu mungkin sampai waktu sahur akan ada pesan makanan. Jadi mesyuarat hari ini sudah meminta MKN untuk keluarkan SOP mengenai perkara itu,” katanya. – SM

(Visited 1,055 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button