Uncategorized

Kerajaan beri diskaun bayaran balik PTPTN

KERAJAAN mendengar keluhan golongan yang perlu membayar semula PTPTN yang terhenti pada Mei lalu yang mana diskaun 50 peratus tidak diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam, Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 dengan kadar berikut:

Pertama: Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;

Kedua: Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan

Ketiga: Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

“Kesempatan ini saya ingin tegaskan terkait kebajikan pelajar universiti.

“Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.

“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang masih berlangsung ketika berita ini ditulis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi 1,500 ringgit.

Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

Pada masa yang sama, katanya, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.

“Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran,” katanya. – SM

BACA Belanjawan 2024: Timbang semula insentif diskaun bayaran balik PTPTN yang tidak disambung

(Visited 77 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button