Rencah Hidup

PKP ‘hadiahkan’ kebun sayuran kepada peniaga air

KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hendak dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, mereka seperti beratus ribu peniaga kecil yang lain berasa cemas.

PKP yang menghadkan pergerakan dan larangan perniagaan secara terbuka bermakna peniagaan air minuman yang diusahakan Zulhelmi Badaruldzaman, 37 dengan sokongan isteri, Misriah Mohamed Yahaya,37 turut terjejas.

Pendapatan RM4,500 ke RM6,000 sebulah hasil daripada perniagaan air  pasangan yang tinggal di Kampung Bukit Keledang, Kota, Negeri Sembilan, hilang begitu sahaja selama berbulan-bulan.

Namun siapa sangka, dalam keadaan yang mendebarkan kerana ekonomi keluarga yang terjejas, PKP menghadiahkan mereka kebun sayur organik yang diusahakan untuk mengisi masa sepanjang perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

“Ketika PKP dilaksanakan memang saya terduduk. Kita berniaga air di pasar malam setiap hari. Bila pasar malam tidak dibuka memang hilang mata pencarian.

“Lebih seminggu duduk di rumah tidak buat apa-apa, hati jadi resah gelisah. Takkan nak duduk membazirkan masa sahaja. Waktu kemaskan kawasan luar rumah terfikir untuk memulakan kebun sayuran bagi mengisi masa lapang,” kata Zulhilmi.

Sebagai anak Felda, Zulhilmi mempunyai pengetahuan asas cara berkebun dan menanam sayur.

Isterinya, Misriah bersetuju dan mereka yang mempunyai lima orang anak itu mula membina kebun secara kecil-kecilan. Kawasan tepi rumah yang luas menjadi tempat projek mereka.

Pada mulanya agak sukar kerana mereka hanya mempunyai pengetahuan asas sahaja. Namun teknologi maklumat yang semakin canggih tidak pernah menghampakan. Pasangan itu mula belajar dari YouTube dan hasil perkongsian ilmu pertanian oleh mereka yang berjaya di Facebook.

“Dari situ kita tahu tanah apa yang sesuai untuk tanaman apa. Baja apa yang perlu digunakan. Berapa kali pokok perlu disiram sehari.

“Susun polibag tanaman pun ada cara dan kaedahnya. Tidak boleh letak macam tu sahaja. Ada jarak,” kata Misriah.

Halangan utama ketika memulakan kebun adalah untuk mendapatkan benih sayuran. Ini kerana kedai-kedai yang menjual benih tanaman habis stok kerana permintaan meningkat pada waktu itu.

Waktu lapang yang banyak ketika PKP kerana tidak bekerja menyebabkan ramai memilih untuk mengisi masa dengan bertani secara kecil-kecilan pada waktu itu.

“Memang susah nak cari benih pada masa tu. Kita terpaksa beli tanaman segar macam cili dan tomato kemudian semai sendiri benihnya.

“Selepas itu, baru kita tahu boleh juga beli benih secara dalam talian. Jadi kita buat pembelian dalam talian,” kata Misriah.

Hari ini kebun sayuran yang mereka usahakan sepanjang PKP telah membuahkan hasil. Mereka kini mempunyai 40 pokok cili kampung, 30 pokok cili bara dan 30 pokok cili besar.

Selain itu mereka juga mempunyai 20 pokok kobis, terung (30), tomato (20), petola (20), kacang (10) yang hidup dengan subur.

Mereka juga menanam anak-anak pokok seperti lemon dan betik yang turut mendapat permintaan daripada jiran-jiran.

“Ketika mula-mula PKP dulu memang sukar juga nak menampung perbelanjaan keluarga kerana sumber pendapatan tersekat.

“Nasib ada simpanan dan adik beradik juga ada yang mengirimkan sedikit perbelanjaan kerana mereka memahami PKP menyebabkan tidak boleh berniaga. Bantuan Prihatin yang disalurkan oleh kerajaan juga banyak membantu mengharungi PKP.

“Paling tidak sangka lepas habis PKP kami mempunyai kebun sayuran sendiri. Segalanya ada hikmah,” kata Zulhelmi.

Pasangan itu kini berhasrat untuk membesarkan lagi kawasan kebun mereka kerana menyedari pertanian terutama sayuran organik mempunyai permintaan yang tinggi.

Zulhelmi yang mempunyai diploma perakaunan dari Universiti Teknologi Mara dan Misriah yang mempunyai ijazah dalam bidang sama dari universiti yang sama menyimpan cita-cita untuk menjadi usahawan tani berjaya tanpa mengetepikan perniagaan air minuman yang mereka usahakan.-SM

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button