Nasional

PKP dilaksanakan di semua negeri kecuali Sarawak

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis akan mula dilaksanakan bermula Jumat ini hingga 4 Februari depan.

Ini bermakna hanya Sarawak yang dikecualikan daripada PKP dan kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu adalah hasil hasil nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung trend peningkatan kes positif COVID-19 di negeri terbabit.

“Sehingga semalam, sebanyak 4,411 kes positif Covid-19 telah direkodkan dan KKM turut mengesahkan lima daripada 12 daerah di negeri tersebut merekodkan lebih daripada 40 kes iaitu Kuala Muda, Kota Setar, Kulim, Baling dan Kubang Pasu.

“Negeri Perak pula sehingga semalam telah merekodkan secara kumulatif  4,481 kes positif dan lapan dari 12 daerah di negeri ini, merekodkan lebih daripada 40 kes iaitu Kinta, Larut Matang Selama,
Kerian, Hilir Perak, Manjung, Kuala Kangsar, Mualim dan Batang Padang,” katanya dalam sidang akhbar harian pekembangan Covid-19 hari ini.

Menurut Ismail Sabri, Negeri Sembilan pula telah mencatatkan sebanyak 10,115 kes positif sehingga semalam dan 140 kes dilaporkan dalam tempoh dua minggu sehingga semalam.

Ujarnya, Pahang pula didapati mempunyai 626 kes positif Covid-19 dan jumlah tersebut berpotensi untuk meningkat.

“Bagi Negeri Terengganu pula, sebanyak 403 kes telah dilaporkan dalam masa 14 hari dari 42 mukim, di mana 1 mukim telah menjadi Zon Merah, 2 mukim; zon jingga dan 39 mukim zon kuning.

“Untuk negeri Perlis, sehingga semalam sebanyak 114 kes positif telah direkodkan dan KKM juga mengesahkan daerah Kangar telah menjadi zon merah dengan 51 kes dilaporkan dalam masa dua minggu,” jelasnya.

Tambah beliau, semua pematuhan operasi standard (SOP) PKP yang diarahkan sebelum ini juga akan terpakai di enam lagi negeri itu bermula Jumaat ini. -SM

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button