
PIR Lakar Bab Baharu Dalam Rehabilitasi Kesihatan Malaysia
Premier Integrated Rehab (PIR), yang sebelum ini dikenali sebagai Pantai Integrated Rehab, melangkah ke fasa baharu dengan melancarkan identiti jenama terkininya bersempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya.
Majlis pelancaran penjenamaan semula yang berlangsung dalam acara bertemakan ‘PIR Unveiled – The Next Chapter’ di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur itu telah dirasmikan oleh Dato’ Indera Dr. Nor Azimi binti Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia.
Identiti baharu ini mencerminkan komitmen berterusan PIR dalam menyediakan perkhidmatan rehabilitasi yang berasaskan pendekatan klinikal, fokus kepada hasil rawatan dan keperluan individu, meliputi pelbagai peringkat pemulihan pesakit.
Sebagai sebahagian daripada rangkaian IHH Healthcare Malaysia – antara penyedia penjagaan kesihatan swasta terkemuka negara – Premier Integrated Rehab kini sejajar dengan strategi penjagaan bersepadu yang merangkumi perjalanan pesakit dari fasa hospital ke komuniti. IHH Healthcare Malaysia turut menaungi 18 buah hospital ternama termasuk Gleneagles Hospitals, Pantai Hospitals, Island Hospital, Prince Court Medical Centre dan Timberland Medical Centre, selain Premier Integrated Labs dan rangkaian klinik Twin Towers Medical Centre.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, PIR telah mengembangkan perkhidmatannya ke lebih 20 pusat rehabilitasi di seluruh negara, menawarkan fisioterapi, terapi carakerja dan terapi pertuturan-bahasa yang dikendalikan oleh Profesional Kesihatan Bersekutu bertauliah. Setiap tenaga profesional menjalani proses pelantikan, penilaian kompetensi dan pemantauan yang ketat, selari dengan kerangka tadbir urus klinikal IHH.
Menurut Hareeff Muhammed, Ketua Perkhidmatan Ambulatori, Kesihatan Bersekutu & Sampingan, IHH Healthcare Malaysia, penjenamaan semula ini melambangkan aspirasi PIR untuk terus berkembang seiring perubahan landskap kesihatan.
“Selama 25 tahun, kami membina perkhidmatan yang menyokong pemulihan dalam pelbagai fasa kehidupan pesakit. Penjenamaan semula ini menandakan fasa baharu untuk terus mendepani masa depan kesihatan yang lebih baik,” katanya.
PIR mengamalkan model penjagaan berteraskan nilai yang mengutamakan amalan klinikal berasaskan bukti, pengukuran hasil rawatan, penggunaan sumber secara optimum dan penglibatan pesakit dalam membuat keputusan. Pendekatan ini seiring dengan hala tuju Kertas Putih Kementerian Kesihatan dalam transformasi sistem penjagaan kesihatan negara.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif inovasi, PIR turut memperkenalkan TheraGo – perkhidmatan rehabilitasi mudah alih yang menyediakan rawatan di lokasi kerja. Melaluinya, organisasi dapat memberikan akses kepada fisioterapi, penilaian ergonomik dan sokongan pencegahan terus di tempat kerja – menjadikan pemulihan sebahagian daripada kesejahteraan harian pekerja.
PIR juga memperluas jangkauannya melalui kolaborasi bersama komuniti, universiti awam serta program turun padang terutamanya di kawasan kurang liputan, selari dengan misi ke arah penjagaan kesihatan berasaskan komuniti dan pencegahan.
Mengulas masa depan industri, Hareeff menekankan pentingnya kolaborasi:
“Kami percaya rehabilitasi memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil kesihatan. Dengan kerjasama pelbagai pihak – termasuk pengamal klinikal, penyedia insurans, pihak korporat dan pembuat dasar – kita mampu memperkukuh ekosistem pemulihan negara.”
Premier Integrated Rehab kekal berpegang kepada nilai-nilai teras IHH Healthcare Malaysia: keselamatan pesakit, penjagaan bertanggungjawab dan komitmen membina sistem kesihatan yang lebih bersepadu dan lestari untuk masa hadapan.