Nasional

Pindaan akta pemandu mabuk ke Parlimen sesi ini

PINDAAN Akta Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berkaitan pemandu mabuk dan berbahaya akan dibentangkan pada sesi Parlimen bermula 13 Julai ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Jabatan Peguam Negara telah memuktamadkan beberapa perkara sepertimana keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun lalu.

“Draf Rang Undang-Undang ini perlu disahkan oleh Kabinet kelak dan kemudiannya akan dibentangkan ke dalam persidangan Parlimen yang akan datang yang berlangsung dari 13 Julai 2020 hingga 26 Ogos 2020.

“Mudah-mudahan, kita akan mendapat sokongan Dewan untuk meluluskan undang-undang yang lebih tegas bagi melindungi para pengguna jalan raya,” kata Ka Siong.

Menurut beliau, sudah tiba masa untuk memberi pengajaran tegas kepada pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu Kerajaan serius untuk meminda Akta 333 khususnya berkaitan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 bagi menangani masalah pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol atau pemanduan berbahaya.

Jelas beliau, Kementerian akan terus melakukan nasihat dan penerangan kepada orang ramai supaya menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab menerusi pendidikan.

“Sekali lagi, saya ingin mengulangi bahawa masyarakat juga harus bersama memainkan peranan dalam usaha mencegah pemanduan secara melulu atau mabuk.

“Ini adalah sebahagian daripada sokongan masyarakat yang sangat diperlukan untuk mencegah dan memerangi penyakit sosial ini yang mengabaikan keselamatan diri dan juga orang lain di jalan raya,” kata Ka Siong

Ka Siong berkata, Kerajaan juga turut memandang serius berhubung kegiatan ‘basikal lajak’ atau kegiatan yang tidak bertanggungjawab sehingga boleh menyebabkan kemalangan atau bahkan meragut nyawa.

Sebahagian daripada cadangan pindaan Akta 333 ini juga ada memperincikan perkara tersebut.-SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button