fbpx
Hiburan

Pinda Akta Finas: Peranan industri kreatif diberi perhatian – Finas

PERANAN industri kreatif yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi menjadi antara faktor yang diteliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), selaras dengan hasrat kerajaan untuk meminda Akta Finas 1981 (Akta 244).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, ia akan dibincangkan secara lebih mendalam dan menyeluruh agar setiap pemain industri kreatif bukan sahaja menerima manfaat mengikut situasi semasa, malahan akta itu juga harus digarap semula berlandaskan ‘semangat Finas’.

“Kenapa (Finas) ditubuhkan? Kerana antaranya ialah faktor pembangunan (industri kreatif) dan kedua, memelihara, menggalak dan memudahkan (pemain industri).

“Inilah perkara yang kita akan lihat dan kita harus akur dengan keadaan semasa dan juga perlu jangka apa akan datang pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Jelas Ahmad Idham, usaha penambahbaikan akta itu merupakan sebahagian agenda utama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah sejak menerajui kementerian berkenaan.


Ditanya sama ada tafsiran ‘filem’ dalam akta itu perlu dikemas kini selaras dengan kewujudan platform media baharu, Ahmad Idham berkata:

“Apa sahaja berkaitan akta itu akan ditambah baik termasuk sekiranya terdapat keperluan mengemas kini tafsiran itu mengikut kehendak semasa.

“Platform baharu bukan perkara baharu, teknologi ‘bergerak’ mengikut peredaran masa seperti ketika radio dan televisyen naik (diperkenalkan) dulu jadi masalah dan turut menjadi propaganda.

“Ia merupakan norma dalam peredaran teknologi dan kita kena lihat apabila teknologi semakin maju kita tidak boleh terus meminda (sesuatu akta) pada masa itu tetapi kena melihat kepada kesesuaiannya.”

Saifuddin semalam mengumumkan kerajaan akan meminda akta itu sambil menegaskan pendirian untuk mendukung prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.

Menteri itu turut menegaskan pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya, termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Finas.

Khamis lalu, sebahagian daripada laporan mengenai jawapan Saifuddin ketika persidangan Dewan Rakyat berkaitan keperluan Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) untuk perfileman, memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan beliau sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi serta polemik. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button