Politik

Jangan persia-siakan pengorbanan akar umbi UMNO

UMNO terus kukuh pada hari ini meskipun Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU14 disebabkan dokongan padu di peringkat akar umbi.

Mereka ini merupakan wira dalam UMNO yang tidak didendang kerana yang ditonjolkan hanyalah pemimpin-pemimpin atasan.

Oleh itu Wakil Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka sewajarnya tidak dipersia-siakan dan mesti menjadi contoh bagi semua pendukung parti..

Katanya, UMNO akan terus kukuh dan teguh di peringkat akar umbi selagi wujud wira-wira yang tidak didendang yang sentiasa menyokong dan jujur dalam perjuangan.

“Jangan kita sebagai pemimpin mensia-siakan pengorbanan mereka ini. Mereka tidak mengharapkan apa-apa imbuhan atau habuan, mereka ikhlas dan jujur dalam perjuangan.

“Sebab itulah UMNO terus kuat dan teguh di akar umbi. Mereka perlukan pembelaan kita, sebab itu kita kena terus lawan kerajaan yang zalim ini, 18 bulan memimpin Malaysia berjuta rakyat sengsara dan derita,” katanya ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mengambil contoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini, katanya, di sebalik beribu kisah perjuangan ahli dan jentera, terdapat seorang ahli berusia 70 tahun yang datang jauh dari Kedah memandu sendirian hanya untuk memberi semangat kepada BN.

“Bila ditanya pakcik tidur di mana, dijawabnya di masjid.

“Kisah kedua, seorang wanita UMNO Kota Tinggi berpayung, berhujan basah di tepi jalan untuk meraih undi saat akhir. Ini hanyalah contoh dari beribu wanita-wanita hebat yang membantu kemenangan BN di Tanjung Piai.

“Ada seorang orang kurang upaya (OKU) datang dari Pasir Gudang, menggunakan tongkat berkaki empat datang ke Tanjung Piai mengunakan bas, bila ditanya kenapa susah payah datang dijawab hanya mahu BN menang,” tambahnya.

Selain itu kata Jafni, sudah pasti juga pengorbanan yang ditunjukkan oleh UMNO Bahagian Tanjung Piai dalam menentukan calon pada PRK tersebut perlu dihargai.

Dalam ucapannya, Jafni turut menarik perhatian perwakilan dengan mengambil peluang menitipkan pesanan kepada parti MCA yang baru sahaja wakil mereka Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dalam PRK Tanjung Piai dengan menggunakan bahasa Cina.

 

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button