Ekonomi

Pengurusan pusaka di hujung jari dengan MiiM, i-Sayang

SYARIKAT pengurusan pusaka, Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM) melancarkan perkhidmatan terbaharunya, MiiM i-Sayang yang menyediakan solusi lebih komprehensif bagi memudahkan orang ramai melakukan pewarisan secara mudah dan sah dengan hanya di hujung jari.

Menurut Pengarah Komersial MiiM, Abdul Hadi Pilus, MiiM tampil memperkenalkan platform pewarisan digital untuk memudahkan orang ramai melakukan pengurusan harta pusaka, wasiat dan merancang hibah aset.

Jelasnya, i-Sayang yang beroperasi sepenuhnya secara digital menawarkan perkhidmatan digital pentadbiran hibah aset secara telus, profesional dan menetapi tuntutan syarak untuk kebaikan pemohon dan juga benefisiari (penerima) serta ahli waris.

Tambah Abdul Hadi, perancangan awal wasiat atau hibah penting untuk mengelak sebarang permasalahan berkaitan pembahagian harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia.

“Pendekatan kita adalah dengan menggunakan kaedah langganan. Selepas pelanggan melanggan sistem ini, mereka akan menerima pelbagai manfaat dalam hal pengurusan wasiat, harta sepencarian dan bermacam-macam lagi.

“Pelanggan juga layak menerima manfaat pengurusan pusaka seperti takaful kerana kami ada tabungan daripada langganan untuk kos pengurusan kematian.

“Dengan adanya platfom aplikasi mobil dan laman web ini, kami menyediakan penyelesaian yang lengkap dan juga sebagai rujukan untuk orang ramai lebih ‘bersedia’ dalam melaksanakan hasrat pewarisan mereka.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan dokumentasi pewarisan secara percuma mereka di laman web kami www.miim.my untuk memudahkan urusan dengan institusi berkaitan seperti di Pejabat Pesaka Kecil atau di Mahkamah Tinggi Sivil atau Mahkamah Syariah, jika perlu.

“Bagi yang mahukan perkhidmatan pewarisan digital berserta dengan servis pentadbiran yang lengkap, kami mengenakan kadar yuran langganan yang berpatutan,” katanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah MiiM, Datuk Mashuri Zainal (tengah) melancarkan produk baharu i-Sayang di Cyberjaya, hari ini. Yang hadir sama, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan; Ketua Pegawai Eksekutif MiiM, Ramlee Said (kanan) dan Pengarah Komersial MiiM, Abdul Hadi Pilus (kiri).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran produk tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah MiiM, Datuk Mashuri Zainal.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MiiM, Ramlee Said dan Mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, perkhidmatan yang menepati piawaian perundangan itu ditawarkan kepada beberapa pakej (rujuk laman web).

“Apa yang lebih penting adalah pengurusan pusaka ini dilakukan oleh pegawai kami yang berpengalaman luas dan penyediaan dokumentasi perancangan yang memenuhi piawaian perundangan,” ujarnya.

Menurut Hadi, melihat kepada kesedaran masyarakat yang semakin baik mengenai kepentingan menyediakan dokumentasi perancangan, pihaknya mensasarkan lebih daripada 10,000 pelanggan pada tahun ini.

Katanya, MiiM juga dijangka memperluaskan kempen perkhidmatannya dengan melantik kira-kira 5,000 ejen berdaftar sehingga hujung tahun ini.

Sementara itu, Musa menasihatkan orang ramai untuk menguruskan harta pusaka mereka sebaik mungkin bagi mengelakkan berlakunya persengketaan sesama ahli keluarga.

“Saya harap umat Islam perlu menguruskan harta dia dengan baik dan sebelum dia meninggal dunia perlu dia buat sesuatu agar hartanya itu boleh difaraid kepada waris-waris

“Kita tengok banyak kes mahkamah apabila berlaku kematian timbul isu-isu untuk dapatkan harta ini akan mendatangkan permusuhan sampai bergaduh sesama adik-beradik sebab harta,” katanya.

Dalam pada itu, Ramlee menambah, MiiM juga dalam perancangan untuk mengembangkan pasaran produk mereka ke pasaran antarabangsa khusunya di Indonesia.

“Kita akan pergi ke pasaran Indonesia dalam tempoh dua tahun lagi sebab kita sudah ada rakan kongsi, kita akan perkemaskan lagi sistem kita untuk pasaran antarabangsa serta menyasarkan 2,000 langganan di sana (Indonesia) dalam tempoh dua tahun,” kata Ramli.

Katanya lagi, walaupun tahap kesedaran mengenai kepentingan merancang pewarisan semakin baik namun sebilangan besar daripada masyarakat masih tidak bertindak untuk melakukan tanggungjawab itu.

“Ramai yang mula cakna mengenai kepentingan pewarisan aset tapi apabila tiba bab pelaksanaan, ramai yang bertangguh. Walhal pengisytiharan hibah atau wasiat yang lengkap dapat mengelakkan banyak isu berkaitan pembahagian harta pusaka selepas kematian,” katanya.

Sementara itu orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk ini boleh melayari laman web www.miim.my. – SM 

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button