Nasional

Kenderaan berat: Patuh jangan langgar waktu puncak masuk Kuala Lumpur

Kompaun akan dikenakan

ISU kenderaan berat dikenakan had masa masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur kekal iaitu pada dua waktu puncak dari pukul 6.30 hingga 9.30 pagi dan pada sebelah petang, bermula dari pukul 4.30 hingga 7.30 petang.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sehubungan itu, pelbagai langkah telah diambil oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan larangan ini dipatuhi.

“Antara langkah yang diambil ialah memaparkan masa larangan masuk kenderaan berat pada paparan Variable Message Sign (VMS) yang terdapat di jalan-jalan masuk utama Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, DBKL juga meletakkan notis awam yang lebih visible di lokasi-lokasi yang strategik di jalan-jalan masuk utama.

Katanya, larangan ini dikuatkuasakan bersama rakan-rakan strategik DBKL iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka yang gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan notis kompaun mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997,” ujarnya.

Tambah beliau, dari tahun 2020 sehingga Mac 2022, sebanyak 2,189 notis kompaun telah dikeluarkan.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan dilakukan dari masa ke semasa oleh pihak DBKL dan agensi-agensi penguatkuasa untuk memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang telah diberikan bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi bandar raya yang selamat. – SM

(Visited 288 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button