Nasional

KPLB salur RM79.8 juta untuk PPRT di Sarawak

Dana tersebut bagi tujuan program bina baharu dan baik pulih rumah PPRT

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar, KPLB, menyalurkan RM79.8 juta bagi membina dan membaik pulih rumah rakyat termiskin di wilayah Sarawak tahun ini. Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah itu meliputi 405 projek bina baharu dan 3,077 projek baik pulih rumah golongan yang memerlukan bantuan program perumahan itu.

“Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ini merupakan bantuan daripada kerajaan untuk membina baharu atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas kesejahteraan Keluarga Malaysia. Kumpulan sasar PPRT adalah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin yang ditentukan berdasarkan pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa yang berkuatkuasa.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut Program Peningkatan Pendapatan, PPP dan PPRT dekat Kampung Awat-Awat di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong.

Jelas Mahdzir, GIATMARA telah diberikan tanggungjawab sebagai agensi pelaksana  projek PPRT Wilayah Sarawak meliputi 180 unit rumah bina baharu dan 1,162 unit rumah baik pulih dengan peruntukan sebanyak RM29.7juta. Manakala selebihnya dilaksanakan oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat & Pembangunan Wilayah Sarawak, MANRED.

Sehingga 15 November 2021, sejumlah 800 unit rumah bina baharu telah berjaya disiapkan 75 peratus. Manakala 10 ribu unit rumah telah berjaya disiapkan 100 peratus bagi program baik pulih. Bagi daerah Lawas menurut Mahdzir, sejumlah RM1.5 juta dibelanjakan bagi 15 projek bina baharu dan 32 projek baik pulih rumah penerima manfaatnya.

Manakala bagi daerah Limbang pula, GIATMARA melaksanakan 19 projek PPRT bina baharu dan 20 projek PPRT baik pulih melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta. Bagi Program Peningkatan Pendapatan, PPP, tahun ini KPLB telah menyalurkan sejumlah RM700 ribu kepada GIATMARA Wilayah Sarawak. Daripada jumlah itu, RM500 ribu disalurkan kepada 50 penerima manfaat di daerah Lawas.

Ia merangkumi program meningkatkan pendapatan nelayan kumpulan B40 di daerah itu melalui penyerahan bantuan enjin sangkut kepada 50 pesertanya. “Kadar bantuan maksimum program PPP adalah sebanyak RM10 ribu, bergantung kepada projek yang dilaksanakan.

Peruntukan projek yang diluluskan akan ditentukan sepenuhnya oleh pihak kementerian dan bantuannya merangkumi kos latihan atau kursus kemahiran projek yang berjumlah maksimum RM1,500 seorang mengikut keperluan,” kata Mahdzir. – SM

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button