Ekonomi

PICK buka penuh sektor ekonomi – PM

KEJAYAAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan P(ICK) melalui kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membolehkan pembukaan penuh sektor ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini menjadi ramuan asas kepada proses kebangkitan ekonomi makro dan rakyat sekali gus menyemai benih pemulihan yang kukuh apabila negara memasuki suku keempat 2021.

“Jika dilihat daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, terdapat peningkatan sebanyak 3.0%, berbanding dengan penguncupan 6.4% dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) siang tadi.

Beliau berkata, angka mutakhir kadar pengangguran sudah berkurangan kepada 4.3% pada Oktober 2021 berbanding kemuncak 5.3% pada Mei 2020. Katanya, angka terbaru ini juga lebih rendah dari dua bulan sebelumnya, menunjukkan bahawa 100 hari 7 hari pertama membawa keberhasilan hakiki dalam aspek peluang pekerjaan.

“Trend penurunan kadar pengangguran yang menggalakkan ini juga turut disertai dengan lonjakan 24.7% dalam eksport dan peningkatan 11.6% dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama” ujarnya.

Tambah Perdana Menteri lagi, ramai yang memerhati angka pelaburan sebagai antara petunjuk keyakinan komuniti perniagaan terhadap keutuhan ekonomi sesebuah negara.

“Di sini, Malaysia mencatatkan perkembangan positif RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua iaitu peningkatan sebanyak 56 peratus.

“Ini menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion iaitu peningkatan sebanyak 300 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2020,” jelas beliau.

Ismail Sabri juga berkata, angka ini masih dapat dicapai di sebalik penutupan sempadan akibat pandemik.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah berjaya meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan dengan memacukan pertumbuhan ekonomi melalui program galakan pelaburan yang strategik.

Katanya, dalam tempoh 100 hari ini, RM109.1 bilion telah diluluskan dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia juga telah meningkatkan eksport sektor agrokomoditi dengan nilai eksport RM147.2 bilion.

“Ini meningkatkan sumbangan kepada pendapatan rakyat dan negara,” tegas beliau.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) juga, kata Perdana Menteri, telah berjaya melahirkan 3,667 8 usahawan baharu yang terdiri daripada belia, graduan dan warga yang hilang pekerjaan akibat pandemik.

“Atas kesedaran sama bahawa syarikat dan pengusaha adalah enjin pemulihan ekonomi, Kementerian Kewangan melalui inisiatif Bayaran untuk Program Subsidi Upah telah menyalurkan sebanyak RM3.3 bilion bagi membantu aliran tunai peniaga kecil dan perusahaan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Ini memberi manfaat kepada 189,000 majikan dan 1.9 juta pekerja,” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga telah menyalurkan geran sebanyak RM40.48 juta kepada PKS, industri kreatif digital dan syarikat industri digital, kata Ismail Sabri.

“Ini bertujuan memacu penerimagunaan digital, pengkomersialan teknologi dan harta intelek, sekali gus memperkasa daya saing.

“Dalam membantu kelangsungan penggiat dan pemain industri pula, pembiayaan akses dan promosi serta pembangunan kapasiti telah disediakan di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif (PRISMA) dan PEMULIH,” katanya. – SM

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button