Nasional

Keseimbangan nyawa, kelangsungan ekonomi tangani pandemik diutamakan

PERBINCANGAN Meja Bulat Pemimpin Komanwel Rantau Asia yang dipengerusikan Putera Charles secara maya dimaklumkan bahawa Malaysia menekankan keutamaan dalam mencapai keseimbangan antara melindungi kesihatan dan nyawa dengan memastikan kelangsungan ekonomi dalam keadaan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian semalam.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini, dalam sesi berkenaan yang turut dihadiri Presiden Maldives dan Sri Lanka, Perdana Menteri Bangladesh dan Singapura juga turut sertai perbincangan tersebut, Muhyiddin turut membincangkan usaha yang dilaksanakan dalam menjana ekonomi kitaran atau circular economy dalam rancangan pembangunan Malaysia.

Katanya, usaha tersebut sebagai salah satu pendekatan untuk mendorong perubahan sistemik ke arah penjanaan peluang pekerjaan dan perniagaan hijau yang lebih berdaya tahan.

“Perdana Menteri juga menekankan kejayaan Malaysia dalam menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam matawang Dolar AS yang mana hasil daripada penerbitan sijil kewangan Islam ini akan membiayai projek hijau sejajar dengan Agenda Pembangunan Lestari 2030,” katanya.

Sesi Meja Bulat tersebut turut disertai Presiden Rwanda merangkap bakal Pengerusi Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), Perdana Menteri United Kingdom dan Setiausaha Agung Komanwel.

Perbincangan meja bulat tersebut, menurut kenyataan yang sama, antara lain turut membincangkan isu-isu utama yang boleh ditangani Komanwel seperti isu-isu berkaitan pendekatan pemulihan hijau, peralihan ekonomi hijau dan tindakan kolektif menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26).

Pada masa sama, katanya lagi, platform berkenaan membuka peluang kepada para pemimpin untuk berkongsi inisiatif dan amalan baharu dalam usaha mereka mengembalikan dan mempercepatkan pemulihan ekonomi disebabkan wabak Covid-19 melalui inisiatif ekonomi kitaran, transformasi industri karbon dan pembiayaan hijau yang mampan.

“Putera Charles turut menggalakkan pemimpin Komanwel mendorong sektor swasta menyertai Inisiatif Pasaran Mampan yang dipimpin oleh beliau.

“Langkah ini dijangka mampu membantu syarikat-syarikat swasta beralih ke perniagaan berasaskan ekonomi hijau yang lebih cekap dan mesra alam,” katanya. – SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button