pilihanSukan

Piala AFF: Harimau Malaya gigit jari gagal ke pentas final

Seperti yang diramalkan pasukan pilihan Thailand melangkah dengan bergaya layak ke pentas final Piala AFF buat kali ke-10 selepas menewaskan Malaysia 3-0 dalam saingan separuh akhir kedua
di Stadium Thammasat, Bangkok malam tadi.

Harapan untuk melihat skuad kendalian Kim Pan Gon layak ke final dan menjulang Piala AFF buat kali kedua dalam sejarah bola sepak negara tidak kesampaian.

Kali pertama Malaysia mendakap piala berkenaan ialah pada edisi 2010 di bawah kendalian jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

Kemenangan bergaya skuad Gajah Perang ke atas Harimau Malaya membolehkan Thailand melangkah ke perlawanan akhir berdepan Vietnam selepas menang menerusi agregat 3-1.

Vietnam selaku pasukan pilihan menepati ramalan melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan skuad Indonesia 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF yang berlangsung di Stadium My Dinh,
Hanoi, pada Isnin.


Pada aksi separuh akhir pertama kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat.

Tiada apa yang dapat dibanggakan dengan skuad bimbingan Kim Pan-gon berbekalkan kemenangan 1-0 dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini, aksi kesebelasan utama tampak longlai.

Cukup jelas tuan rumah menguasai sepenuhnya aksi dan tidak menunggu lama apabila pada minit ke-19 Teerasil Dangda meletakkan pasukannya mendahului 1-0 selepas dia menanduk masuk bola hantaran Theerathon Bunmathan.

Skuad Harimau Malaya cuba bangkit memberi saingan peluang terbaik untuk mengikat kedudukan tidak berhasil apabila tandukan Darren Lok berjaya diselamatkan penjaga gol, Kampol Pathomakkakul pada
minit ke-37.

Pada babak kedua, Pan-gon memasukkan V. Ruventhiran dan Lee Tuck bagi memperkemas rentak Harimau Malaya namun segalanya tidak menjadi buat pemain negara apabila Thailand terus mendominasi aksi.

Pada minit ke-55, pintu gol skuad negara bergegar lagi buat kali kedua apabila Bordin Phala melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Skuad Harimau Malaya cuba bangkit merapatkan apabila lima minit selepas itu, Faisal hampir mencemaskan pertahanan Gajah Perang apabila melepaskan rembatan dari luar kotak penalti namun melewati palang gol.

Tuan rumah nyata bukan tandingan anak didik Pan-gon apabila gol ketiga menyusul selepas Adisak menyempurnakan hantaran Suphanan Bureerat walaupun bola terkena tiang sebelum mudahnya untuknya menolak masuk. – SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button