
PhD Ketiga Diperoleh, Irmohizam Kukuhkan Jejak Intelektual dan Korporat
KUALA LUMPUR 20 Jun 2025 – Komander Kehormat PSSTLDM, Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, hari ini melakar sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketiga beliau di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dalam satu kenyataan rasmi, beliau memaklumkan bahawa sesi pembentangan akhir sesi viva telah berlangsung selama tiga jam di Pusat Pengajian Siswazah UPNM, dengan 30 minit pembentangan dan 2 jam 30 minit sesi soal jawab intensif daripada pemeriksa dalam dan luar.
Tajuk penyelidikan beliau ialah “Pengaruh Insentif dan Motivasi Sebagai Pengantara pada Kesan Faktor Anteseden Terhadap Produktiviti Pekerja di Malaysia” – satu kajian aplikatif yang menyentuh dimensi penting dalam pengurusan sumber manusia, khususnya dalam konteks industri pertahanan negara dan sektor buruh secara umum.
“Saya hanya tidur dua jam malam sebelumnya, namun alhamdulillah saya dimaklumkan lulus dengan keputusan penuh penghormatan,” ujar beliau penuh syukur.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada panel penilai yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din, bersama Prof. Madya Dr. Mohd Hamran Mohamad dan Prof. Dr. Aminuddin Hassan atas bimbingan dan pandangan konstruktif mereka.
Tidak dilupakan juga penghargaan mendalam kepada penyelia utama, Prof. Dato’ Dr. Norhasni Zainal Abiddin, serta penyelia bersama, Prof. Dato’ Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi dan Prof. Dr. Rogis Baker.
Menurut beliau, pencapaian ini bukan sekadar gelaran akademik, tetapi simbol ketekunan, kekuatan doa dan komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
“Saya ingin menggalakkan semarak budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ilmu ialah cahaya, dan tekad ialah kunci kejayaan,” katanya.
Dengan kelayakan ini, Dato’ Sri Dr. Irmohizam kini mencatat antara tokoh korporat dan akademik terkemuka negara yang memiliki tiga Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang berlainan – mencerminkan kepimpinan berasaskan ilmu dalam pentadbiran, pendidikan dan pembangunan insan.