Mahkamahpilihan

Dua warga Rohingya mengaku tidak bersalah rogol remaja 15 tahun

Dua warga Rohingya termasuk seorang remaja 14 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh Melaka di sini hari ini atas pertuduhan merogol, mencabul seorang pelajar sekolah dalam sebuah kereta, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Osman Boshor, 27, dan remaja berusia 14 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Di Mahkamah Sesyen, Mohamad Osman yang juga seorang peniaga didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dalam sebuah kereta jenis Proton Preve di kawasan lapang di Pantai Klebang kira-kira pukul 5.30 petang pada 14 September lepas.

Tertuduh boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah melakukan serangan seksual terhadap mangsa sama pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala Peguam Omar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dibenarkan dan bersetuju dengan syarat tambahan dikenakan.

Selepas mendengar rayuan, Mohd. Sabri membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 selain mengarahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan keluarganya.

Hakim kemudiannya menetapkan tarikh 31 Oktober depan untuk serahan laporan kimia dan perubatan penuh mangsa.

Tertuduh remaja 14 tahun pula didakwa melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat.

Manakala Seksyen 377C kanun sama memperuntukkan  hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebat.

Majistret Sharda kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 31 Oktober ini sebagai sebutan semula kes tersebut. – SM

 

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button