Politik

PH mula minta talian hayat?

TANJUNG PIAI kini kelihatan menjadi tempat untuk pemimpin Pakatan Harapan merayu kepada rakyat untuk memberikan mereka ‘talian hayat’ untuk terus menjadi kerajaan.

Dalam kempen-kempen pilihan raya kecil di situ kedengaran suara-suara pemimpin PH berkata, masih terlalu awal untuk rakyat menilai kemampuan mereka sebagai pemerintahan.

Justeru mereka meminta rakyat tidak menghukum mereka dengan kekalahan di Tanjung Piai pada PRK yang akan berlangsung Sabtu depan.

Adun DAP Jementah, Tan Chen Choo misalnya dalam ceramah di Jalan Penerok berkata kerajaan Pakatan Harapan ibarat seorang bayi yang baru lahir yang perlu diberi masa oleh rakyat untuk belajar.

“Pakatan Harapan macam satu bayilah, yang baru lahir. Jadi kena beri masa untuk bayi ini belajar, macam mana nak berjalan dengan baik, macam mana nak makan dengan baik.

“Macam mana nak apa ni, berurus kerja pentadbiran dengan lebih baik. maka kita perlukan masa,” kata Chen Choo ketika berkempen.

Malam tadi Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga merayu kepada pengundi untuk tidak menilai dan menghukum mereka terlalu awal.

Menurut mereka kerajaan PH ketika ini berusia kurang dua tahun.

“Pengundi perlu bersabar dan fikir secara matang dengan mengambil kira segala kerosakan yang ditinggalkan kerajaan lama dan kerja keras kami memulihkan negara.

“Kalau tak puas hati dengan prestasi dua tahun bagaimana dengan BN 60 tahun rosakkan negara, takkan hanya dua tahun nak hukum kita.

“Wakil rakyat kami begitu dedikasi dan tak terlibat rasuah maka adakah adil nak hukum orang nak bawa negara jadi harimau Asia bebas rasuah….fikirkanlah secara bijaksana pengundi-pengundi Tanjung Piai yang saya hormati,” kata Maszlee kepada pemberita di Kampung Kukup Laut malam tadi.

Guan Eng pula meminta pengundi Parlimen Tanjung Piai memberikan masa kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berkhidmat melengkapkan tempoh sepenggal.

Beliau mengingatkan rakyat bahawa usia kerajaan hanya 18 bulan dan beliau meminta rakyat memberilah PH masa lima tahun untuk menunaikan tanggungjawab yang dijanjikan.

“Kalau dalam 18 bulan harapkan semua masalah yang ditinggalkan kerajaan lama 60 tahun, hanya Tuhan sahaja yang boleh lakukan.

“Kami tak pernah cakap tidak akan menunaikan janji-janji yang diberikan, kita akan tunaikan janji, tapi dalam keadaan yang agak tidak menentu sekarang bukannya mudah. masalah ini diwarisi dari kerajaan lama dan biar kami akan cuba dalam tempoh 5 tahun ini,” katanya dalam ceramah kelompok di Pusat Perdagangan Pontian malam tadi.

Rayuan pemimpin PH itu boleh boleh dilihat daripada pelbagai sudut.Antaranya mereka mungkin sudah dapat merasakan kesabaran rakyat terhadap kerajaan dalam menunaikan janji-janji serta manifesto pilihan raya umum lalu semakin menipis.

Rakyat masih mengingati bagaimana beberapa pemimpin PH pernah berjanji untuk menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, menyediakan pendidikan percuma hingga ke peringkat lebih tinggi dan sejuta peluang pekerja. Isu yang dimainkan sebelum PRU-14 dan tidak berani untuk dijadikan bahan kempen oleh PH kini.

Ini kerana apa dijanjikan dalam pilihan raya itu belum tertunai dan dalam masa yang sama ramai pula yang hilang pekerjaan dan terpaksa menganggur. Adakah rakyat akan memberikan PH talian hayat di Tanjung Piai? Jawapannya hanya akan diketahui Sabtu depan.

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button