NasionalPolitik

PH mahu dengar suara rakyat akar umbi selepas tewas di Tanjung Piai

SELEPAS tewas dengan majoriti yang besar pada pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi mendengar suara akar umbi bagi merangka hala tuju masa depan.

Daripada jelajah itu diharapkan masalah rakyat dapat didengar dan dari situ beberapa pelan dan bentuk perjanjian baharu akan dibuat.

“Saya berharap jelajah untuk mendengar (suara akar umbi ini) akan menghasilkan beberapa bentuk perjanjian baru dan pelan pemulihan bagi dilaksanakan pada tahun 2020 supaya mendapatkan semula keyakinan orang ramai,” kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata.

Chin Tong berkata demikian pada majlis makan malam penghargaan kepada sukarelawan pilihan raya DAP di Tanjung Piai malam tadi seperti yang dipetik daripada MalaysiaKini.

Bagaimanapun Senator dari DAP itu berkata, mereka perlu berhati-hati supaya tidak terjebak ke dalam naratif perkauman UMNO dan Pas.

“Bahaya yang akan dihadapi kerajaan PH adalah akan ada pandangan bahawa pakatan ini tidak berdaya maju dan perlu segera diganti.

“Gabungan UMNO-Pas akan berhujah bahawa Muafakat Nasional, dengan MCA sebagai rakan kongsi, merupakan model yang lebih baik daripada kerajaan semasa, memainkan rasa benci di kalangan orang Melayu terhadap DAP. 

“Di sisi lain, MCA akan terus berhujah bahawa DAP menjual diri kepada Bersatu.

“Kerangka perkauman semacam itu berbahaya dan telah terbukti dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai yang mana kami tewas di kedua-dua kawasan Melayu dan bukan Melayu serta boleh pecah di tengah-tengah,” kata seperti yang dipetik dari MalaysiaKini.

Katanya, PH mesti menerima bahawa kebangkitan demokratik pada 9 Mei 2018 bermaksud semua orang merasakan mereka mempunyai hak demokratik sepenuhnya untuk mengundi sesiapa sahaja dan tidak ada deposit tetap kepada sesiapa pun.

“Hampir setiap orang merupakan pengundi yang boleh berubah. Kita memerlukan naratif bersama rakyat Malaysia untuk memastikan semua kumpulan etnik bahawa mereka tidak terkepung.

“Kegagalan mengemukakan naratif Malaysia yang bersesuaian membenarkan dunia pendapat yang tiba-tiba bebas ini untuk membentuk pendapat umum dalam kerangka bingkai perkauman yang mengakibatkan kemarahan yang luar biasa pada kedua-dua pengundi Melayu dan bukan Melayu,” katanya.

Pada pengundian PRK yang berlangsung semalam, calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding hilang wang pertaruhan iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button