PRK

PH juga dibelenggu kempen berbentuk perkauman

DALAM ceramah-ceramah oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai, kerap mereka mengatakan bahawa Barisan Nasional (BN) menggunakan isu perkauman atau rasis untuk menang.

Walaupun BN meletakkan calon berketurunan Cina, Datuk Seri Wee Jeck Seng namun tetap dikatakan menggunakan kempen berunsur perkauman untuk mendapatkan sokongan.

Ini termasuk yang keluar dari mulut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa pembangkang terus memainkan isu perkauman sebagai bahan kempen di Tanjung Piai.

Tetapi lain pula kaedah kempen yang digunakan oleh calon PH, Karmaine Sardini dalam kempennya malam tadi apabila menggunakan risalah utamakan barangan Muslim diedarkan di ceramahnya.

Difahamkan kira-kira 1,000 risalah utama produk Muslim diletakkan di kerusi-kerusi dalam program yang diadakan di Kukup Laut itu.

Risalah itu memaparkan logo halal di bahagian belakang, dengan kata-kata ‘Kempen Beli Produk Islam’.

Antara kata-kata lain yang terdapat dalam risalah itu ialah: “Kita beli asalkan orang tu Melayu Islam. Bila undi, sepatutnya bila ada calon Islam dan bukan Islam kita pilih yang Islam, tak kira dari parti mana.

“Bila ada dua atau lebih calon Islam, kita pilih yang lebih besar. Jadi kita pilih Bersatu. Ini baru ikut prinsip.

“Vote Muslim first!”

Jika benar risalah ini datang daripada pasukan kempen calon PH, jelas parti kerajaan itu sendiri tidak dapat lari deripada unsur perkauman untuk meraih undi.

Ini juga menunjukkan bahawa biar apa sekali pun yang dicanang oleh pemimpin mengenai perkauman, realitinya, isu ini merupakan modal mudah untuk mencapai kepentingan politik mereka.

Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaimanapun menafikan PH mengedar risalah itu sambil mendakwa itu adalah satu tindakan sabotaj.

Dalam responnya kepada MalaysiaKini, Syed Saddiq berkata, itu bukan pendirian PH dan beliau sudah semak dengan dengan penganjur dan tiada siapa tahu mengenainya.

Kalau betul itu merupakan tindakan sabotaj, maka eloklah pemimpin-pemimpin PH menyiasat siapa yang bertanggungjawab menconteng arang ke muka parti kerajaan itu supaya maruah mereka dapat dibersihkan.

Pada zaman sekarang ini, kerja-kerja mencari orang yang terbabit dengan pelaku sabotaj tidak susah.

Namun, jika diikuti secara dekat ceramah-ceramah pemimpin PH termasuk Guan Eng, mereka tidak akan terlepas daripada menjentik sedikit elemen perkauman atau rasis.

Apabila Guan Eng mengumumkan Senator Liew Chin Tong yang akan berkhidmat untuk kaum Cina di Tanjung Piai, apakah itu tidak rasis? Adakah kenyataan itu bermakna calon PH yang berketurunan Melayu tidak mampu memberi khidmat kepada pengundi-pengundi Cina? Atau pengundi-pengundi PH yang berketurunan Cina di Tanjung Piai tidak boleh menerima khidmat daripada wakil rakyat Melayu?

Dalam politik konsep matlamat menghalalkan cara sentiasa menjadi pegangan pemimpin yang terlibat. Walaupun pemimpin PH mengutuk kempen BN yang menjurus kepada sentimen kaum, namun mereka sendiri turut tidak terlepas daripada berbuat demikian.

Ini yang dikatakan apabila cerek mengata periuk hitam. – SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button