fbpx
PRK

PH gagal tembus kubu kuat BN di Kimanis

KETIKA tiba di lapangan terbang di Kota Kinabalu saya bersama dua rakan yang lain diambil oleh sabahat lama yang menyewakan keretanya kepada kami.

Perkataan pertama keluar dari mulutnya ialah `Kuat biru di Kimanis’. Saya cuba lebih rasional dengan menganggap mungkin pandangan itu lahir dari seorang penyokong tegar Barisan Nasional.

Bagaimanapun sahabat saya ini bukan calang orang kerana ahli keluarganya terlibat secara langsung di dalam politik Sabah.

Sebenarnya momentum pilihan raya kecil Kimanis sebenarnya bermula daripada perhimpunan agung UMNO lagi.

Selepas mengumumkan autonomi kepada UMNO Sabah bermakna parti negeri itu bebas menguruskan aktiviti mereka tanpa masuk campur UMNO pusat termasuk dalam memilih calon di Kimanis. Ini sekali gus mematikan isu Sabah for Sabah yang dimainkan oleh Warisan yang merupakan parti tempatan.


UMNO juga telah tampil lebih segar sebagai sebuah parti yang bukan hanya memperjuangkan nasib orang Melayu, tetapi sering mengangkat isu rakyat keseluruhannya sebagai perjuangan.

Perkara itu diterima baik dan pada masa sama kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional juga terus dipereratkan.

Hala tuju baharu digarap oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan lain diserlahkan dengan sikap kesemua pemimpin yang lebih sederhana pendekatannya.

UMNO dan Barisan Nasional ketika melangkah ke dalam gelanggang Kimanis agak gugup kerana mereka kehilangan sejumlah besar pemimpin utama yang melompat menyertai parti kerajaan.

Namun kini terbukti ia tidak menjejaskan UMNO, bahkan menjadikan ia lebih kuat.

Warisan dengan segala kelebihan masih gagal meraih keyakinan rakyat di Sabah. Isu-isu yang terus berlegar setiap hari sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi di Sabah.

Kawasa Binsulok, Kampung Melayu Brunei antara kubuh kuat Barisan Nasional  masih gagal ditembusi oleh Pakatan Harapan melalui Warisan pada pilihan raya kecil Kimanis.

Namun ternyata semua teguh menyokong BN, walaupun pelbagai janji dibuat oleh para pemimpin PH termasuklah pembangunan yang lebih pesat di negeri Sabah khususnya di Kimanis.

Dengan jentera Warisan di peringkat akar umbi yang belum kemas termasuk Bersatu yang baharu melangkah ke Sabah dan parti komponen lain ia sukar untuk memecah sokongan terhadap BN.

Walaupun barisan pemimpinnya melompat ke parti kerajaan, tetapi penyokong akar umbi tetap bersama UMNO.

Bahkan mereka lebih bersemangat kerana bukan sahaja diterajui barisan kepemimpinan baharu, yang mengambil alih kekosongan ditinggalkan dan dibantu momentum kemenangan besar di Tanjung Piai tempoh hari.

Kempen Warisan lebih tertumpu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal untuk menarik orang ramai, dan jika pemimpin lain kehadiran hanya sekitar ratusan orang sahaja.

Namun isu pelaksanaan Permit Sementara Sabah atau PSS memang sukar diterima oleh pengundi, walaupun sampai satu tahap Shafie membawa buku sebagai bukti bahawa cadangan itu dibawa oleh pemimpin Barisan Nasional.

Sebenarnya Shafie tidakpun perlu bersungguh-sungguh mempertahankan pelaksanaannya sudah cukup jika beliau umumkan akan menangguhkannya untuk kajian lebih terperinci.

Pemberian permit sementara yang membenarkan pelarian perang dari Filipina untuk tinggal di Sabah selama tiga tahun tidak dapat diterima, walaupun jaminan diberi tujuan utama adalah untuk merekodkan pendatang tanpa izin berkenaan dan seterusnya membersihkannya dari bumi Sabah.

Kehadiran pemimpin Bersatu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin utama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak memberi impak seperti diharapkan.

Ceramah-ceramah politik dibuat oleh PH sudah tidak seksi untuk menarik pengundi hadir. Sebaliknya BN mempunyai kelebihan jenteranya yang bergerak kemas melalui konsep pusat mengundi angkat.

Selain itu pendekatan baharu diperkenalkan oleh Penerangan UMNO diketuai oleh Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang diberi nama Diskusi Rakyat lebih mudah diterima dan dihadam oleh orang ramai.

Kaedah diskusi santai dengan diselang seli dengan jenaka oleh Shahrol Shiro digemari oleh semua lapisan pengundi.

Kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang digelar Datuk Panglima Bossku juga memberi impak yang luar biasa.

Dan tidak kurang memainkan peranan yang besar ialah bekas ahli parlimen kawasan berkenaan Datuk Seri Anifah Aman.

Namun peranan paling penting adalah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menggerakkan jentera parti.

SPR secara rasmi mengumumkan calon BN Mohamad Alamin sebagai pemenang pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Pengumuman itu dibuat oleh pegawai pengurus Jupari @ Jupry Etok.

Mohamad menewaskan lawannya Karim Bujang dari Warisan dengan 2,029 undi majoriti.

Beliau memperoleh 12,706 undi, sementara Karim meraih 10,677 undi. Sebanyak 320 undi ditolak. Jumlah peratus keluar mengundi adalah 79.92 peratus.

Pada pilihan raya umum lepas, BN yang diwakili Anifah Aman, menang hanya dengan majoriti 156 undi.

Anifah ketika itu memperoleh 11,942 undi, sementara Karim yang turut bertanding ketika itu meraih 11,786 undi. Calon ketiga Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi.

Show More

Related Articles

Back to top button