Nasional

‘Selamat kembali ke tanah air, Keluarga Malaysia’ — PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengucapkan “selamat kembali ke tanah air” kepada semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara selepas pembukaan semula sempadan negara berikutan ‘Fasa Peralihan ke Endemik’ yang bermula pada Jumaat.

Perdana Menteri turut berkongsi rasa gembira dan bersyukur apabila melihat pelbagai hantaran di media sosial Keluarga Malaysia yang berasa lega dan gembira dapat pulang ke Malaysia pada Jumaat.

Beliau menyifatkan Fasa Peralihan ke Endemik sebagai menyatukan semula ahli Keluarga Malaysia yang terpisah termasuk di Singapura.

Baca juga > Buka sempadan M’sia-Singapura: Semua kenderaan dikecualikan tol

“Setelah hampir lebih dua tahun kita berperang dengan pandemik Covid-19, dan ada yang terpaksa berjauhan dari keluarga, hari ini pada 1 April 2022, Malaysia telah berjaya membuka sempadan negara.”

“Selamat kembali ke tanah air, Keluarga Malaysia yang amat saya sayangi,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau semalam.

Tepat jam 12 tengah malam tadi, semua pusat pemeriksaan antarabangsa Malaysia dibuka semula sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik pada Jumaat (1 April).

Pembukaan sempadan menyaksikan rakyat Malaysia terutamanya yang berada di Singapura pulang ke tanah air dan detik bersejarah itu dikongsikan dengan gembira di media sosial dengan ramai yang menitiskan air mata kegembiraan apabila pulang ke tanah air.

Baca juga > Pemburu Dolar Singapura pulang ke tanah air, sedia sambut Ramadan!

Negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula dengan pemansuhan beberapa sekatan antaranya, pembukaan semula sempadan, premis perniagaan dibenarkan beroperasi mengikut lesen perniagaan mereka dan tiada penjarakan fizikal semasa solat di masjid dan surau atau upacara keagamaan di rumah ibadat lain. – SM

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button