Bola SepakJenayahNegeriSukan

Liga Super Perlis: Pengadil buat laporan polis ditumbuk pegawai pasukan

RUMAH sudah siap, pahat masih berbunyi. Inilah berlaku sebaik sahaja tamatnya perlawanan akhir Liga Super Perlis antara pasukan Lion Junior FC dengan pasukan Guar Syed Alwi di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Arau.

Seorang pengadil dipercayai telah ditumbuk oleh seorang pegawai pasukan yang tidak puas hati apabila gol pihaknya telah dibatalkan.

Akibatnya pengadil yang juga seorang guru itu mengalami kecederaan iaitu luka pada bahagian kening sebelah mata kanan dan lebam mata kanan.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Deputi Superitendan Shaharruddin Abdul Talib setelah pengadil berkenaan, Muhamad Azale Nidzar tampil membuat laporan di Balai Polis Arau pada pukul 12.08 pagi pada 1 Oktober, iaitu lebih kurang dua jam selepas kejadian.

Muhamad Azale memegang mata kanannya selepas ditumbuk sebaik Liga Super Perlis berakhir. – Gambar: Ihsan Media Sosial

Dalam laporan itu katanya, pada kira-kira pukul 10.30 malam pada 30 September, telah datang seorang lelaki Melayu ke tengah padang bola lalu menumbuk bahagian kening sebelah kanan pengadu sebanyak satu kali sebaik beliau selesai mengadili perlawanan Liga Super Perlis.

Shaharruddin berkata, hasil siasatan didapati kejadian itu berlaku di padang bola sepak Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Arau.

Katanya, pada masa itu berlangsung perlawanan akhir Liga Super Perlis antara pasukan Lion Junior FC menentang pasukan Guar Syed Alwi.

Katanya, pengadu pula adalah pengadil perlawanan bola berkenaan yang telah dijuarai oleh pasukan Guar Syed Alwi dengan keputusan 1-0.

“Punca kejadian dipercayai lelaki berkenaan tidak puas hati terhadap pengadu yang membatalkan gol pihak Lion Junior FC,” katanya.

Katanya, lelaki berkenaan pula adalah Pegawai Pasukan Lion Junior FC di mana sebaik tamat perlawanan telah terus menuju ke tengah padang bola lalu menumbuk bahagian kening sebelah kanan pengadu sebanyak satu kali.

Katanya, akibat daripada kejadian itu, pengadu berasa sakit dibahagian kening sebelah kanan.

“Pol 59 telah dikeluarkan kepada pengadu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar Perlis,” katanya.

Beliau berkata, hasil rawatan itu doktor yang merawat mengesahkan ada kecederaan iaitu lebam di bahagian mata, luka sepanjang 0.2cm di bahagian kening sebelah kanan.

Shaharruddin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja mendatangkan cedera.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang tangkapan. – SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button