Parlimen

Petugas barisan hadapan diutamakan vaksin Covid-19

PETUGAS barisan hadapan akan diberikan keutamaan menerima vaksin Covid-19 apabila negara memperoleh bekalan pada suku pertama tahun depan.

Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

Katanya, keutamaan awal pemberian vaksin Covid-19 kepada tiga peratus populasi negara itu adalah pemberian utama secara ‘fast track’.

“Untuk makluman perancangan kerajaan melalui jawatankuasa perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi tahun depan bukan setakat RM1 bilion sahaja.

“Sekurang-kurangnya kita perlu mengimunisasi 70 peratus daripada rakyat Malaysia dan saya telah minta RM3 bilion untuk disediakan bagi tahun depan,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.

Menurut Khairy Jamaluddin, bagi tujuan penyelarasan memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 telah ditubuhkan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 21 Oktober lalu.

Akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi dan akan diangkat sebagai keutamaan sejajar dengan Covid-19 ini dilihat sebagai satu keperluan awam.

Sementara itu, Khairy menjelaskan, kini Malaysia dalam peringkat akhir rundingan melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Peguam Negara bagi meneliti terma perjanjian COVAX sebelum menyertai COVAX secara rasmi.

“Daripada segi harga yang ditawarkan oleh COVAX adalah maksimumnya AS$21 (RM87) untuk satu vaksin.

“Namun COVAX ini hanya sebahagian sahaja daripada keperluan kita untuk mendapat vaksin Covid-19 kerana sebahagian besar akan kita peroleh menerusi rundingan dua hala dengan negara lain atau syarikat lain,” kata Khairy Jamaluddin.-SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button