Hiburan

PU Riz bagi sumbangan kepada 100 pemandu, rider e-hailing

Selebriti dan pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz meneruskan misi bantuan dengan menyerahkan sumbangan kepada 100 pemandu dan ‘rider’ penghantar makanan, semalam.

PU Riz, 26, berkata, pihaknya membuat tempahan menerusi aplikasi membabitkan penghantar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi membolehkan pemandu dan ‘rider’ datang ke lokasi serahan bantuan di Taman Tun Dr Ismail, di sini.

“Sebelum ini kita serah bantuan untuk penduduk di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur. Saya sedar, dalam keadaan sekarang banyak lagi golongan terjejas dan mungkin ada terlepas pandang.

“Disebabkan itu, untuk kali ini saya bersama pasukan memilih untuk serahkan sumbangan kepada pemandu dan ‘rider’ Lalamove. Tidak dinafikan mereka juga antara golongan yang terjejas.

“Kami menggunakan cara dengan membuat tempahan di aplikasi Lalamove. Mana-mana pemandu dan ‘rider’ yang terima tempahan, mereka akan datang ke lokasi dan kami serahkan bantuan. Ada juga ‘rider’ dari bangsa Cina yang menerima sumbangan. Dengan semangat kewarganegaraan kita nak bantu semua bangsa.

“Sama juga macam sebelumnya, kami sediakan barangan keperluan asas harian seperi minyak, sardin, milo, roti, minyak masak, susu manis dan sedikit wang tunai. Diharapkan ia dapat membantu bukan saja untuk diri sendiri tapi juga keluarga mereka,” katanya.

Menurut PU Riz juga suami kepada selebriti Neelofa, inisiatif dijalankan itu tidak lain bagi menjalankan tanggungjawab sesama manusia.

“Alhamdulillah, rezeki yang ada tidak salah jika kita kongsi bersama. Malah, saya sentiasa berharap segala apa yang dibuat ini mendapat keberkatakan Allah selain bermanfaat untuk orang lain terutama mereka yang memerlukan dan dalam kesusahan.

“Seperkara lagi, menjadi tanggungjawab bersama untuk kita saling membantu. Insya-Allah, kita akan cuba tolong selagi mana termampu. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Selain Riz, sumbangan yang dijalankan itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Kasih Neelofa dan Naelofar Hijab. -SM

(Visited 364 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button