
PETRONAS, PETROS setuju selesai isu berbangkit dengan rundingan
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak dan persekutuan telah bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam isu Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan menyelesaikan isu berbangkit dengan cara rundingan.
Ia dinyatakan susulan pertemuan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Perdana Putra, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan.
Katanya, Perdana Menteri dan Premier Sarawak telah bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat.
“Ia seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara PETRONAS dan PETROS,” menurut kenyataan.
Tambahnya lagi, langkah itu penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada kerjasama PETRONAS dan PETROS dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
“Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN,” katanya.
Anwar dan Abang Johari juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan.