Nasional

Kaji semula keputusan babitkan jenayah seks luar tabie – Ibrahim Ali

MINGGU lepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang berkaitan dengan jenayah seks luar tabie sebagai tidak sah dan terbatal.

Keputusan dibuat kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal sesuatu undang-undang yang jatuh di bawah senarai Persekutuan, didalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden parti PUTRA, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, walaupun menghormati keputusan mahkamah itu namun tidak bersetuju dengan kesan yang boleh berlaku di masas hadapan khususnya berkaitan dengan kehakiman syariah di negara ini.

“Setelah kita meneliti alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan memahami bahawa kuasa perundangan antara Persekutuan dan Negeri dibatasi sempadan Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama seperti yang terkandung didalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Disebabkan itu, PUTRA memahami bahawa Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan telah memutuskan, disebabkan jenayah liwat telah terkandung sebagai kesalahan jenayah Persekutuan di bawah seksyen 377 dan 377A Kanun Keseksaan maka DUN Selangor tidak boleh membuat Undang-undang serupa didalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

“Ini kerana Fasal pengecualian didalam Senarai Negeri jelas membataskan had Negeri untuk membuat Undang-undang yang terkandung dalam Senarai Persekutuan,” kata Ibrahim dalam satu kenyataannya kepada SUARA MERDEKA.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, Mahkamah mengakui bahawa DUN Selangor berhak untuk membuat Undang-undang yang berkaitan kesalahan terhadap rukun-rukun Islam (precept of Islam) dan Mahkamah bersetuju kesalahan liwat ini adalah bertentangan dengan rukun-rukun Islam berkenaan.

Walaupun begitu, Mahkamah menyatakan bahawa hak DUN Selangor tidak boleh mengatasi Fasal pengecualian (exclusion clause) bahawa Negeri tidak boleh membuat Undang-undang seperti Senarai Persekutuan, kata beliau.

Sehubungan itu, kata Ibrahim lagi, PUTRA berpandangan pendekatan yang diambil oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan boleh dikaji semula oleh Mahkamah Persekutuan pada masa akan datang.

“Jika keputusan Mahkamah Persekutuan ini tidak diubah semula oleh Mahkamah Persekutuan pada masa yang akan datang, ini merupakan sesuatu yang menyedihkan buat umat Islam dalam memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan Selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau dalam kenyataannya.

Beliau menambah, Mahkamah Persekutuan hari ini terlalu prihatin dengan ketidakadilan yang dikatakan bakal berlaku jika Seksyen 28 ini dibenarkan dikuatkuasakan ke atas Pempetisyen yang jika sabit kesalahan, hanya akan dikenakan hukuman penjara maksima lima tahun berbanding tiga tahun.

“Jika individu bukan Islam yang turut melakukan jenayah liwat, dengan Pempetisyen, jika didakwa di Mahkamah Sivil, jika sabit kesalahan akan dihukum penjara maksimum 20 tahun,” katanya.

Ibrahim berkata, disebabkan “kebimbangan isu prejudis dan kesamarataan” oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan hari ini terhadap tiga orang yang bukan Islam berkenaan maka fokus kehakiman hari ini mungkin bertujuan mengelakkan salah anggap masyarakat bukan Islam terhadap Kehakiman Syariah yang mungkin persepsinya tidak semestinya tepat.

“Oleh itu demi memartabatkan Kehakiman Syariah di Malaysia agar tidak lagi sewenang-wenangnya berlaku tafsiran Mahkamah Sivil yang tidak memihak kepada Kehakiman Syariah, PUTRA berharap agar Mahkamah Persekutuan dapat mengkaji semula keputusan ini pada masa akan datang,” kata Ibrahim Ali. – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button