Nasional

Petronas kurangkan kakitangan 10 peratus

SYARIKAT minyak kebangsaan, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan me­ngurangkan 10 peratus kakitangan.

Ia sebahagian daripada proses penstrukturan se­mu­la syarikat itu dalam berhadapan dengan ketidaktentuan iklim  ekonomi global dan domestik.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, langkah itu perlu diambil kerana keseluruhan industri minyak dan gas pada masa kini tidak menentu.

“Kami menjangkakan kira-kira lebih 5,000 pekerja akan terbabit dalam penstrukturan itu atau kira-kira 10 peratus dari­pada keseluruhan kakita­ngan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, Petronas ti­dak boleh lagi beroperasi da­lam suasana yang sama kerana keadaan sudah berubah dengan drastik.

Katanya, Petronas dalam bidang tertentu mempunyai terlalu ramai kakitangan dan tidak lagi kompetitif jika dibandingkan syarikat minyak antarabangsa lain.

“Kita sedang melihat jangka masa 10 tahun yang akan menentukan masa depan Petronas,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini terdapat lebihan tenaga kerja dalam beberapa peringkat dan ia tidak setanding dengan apa yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa.

“Rasional untuk penstrukturan ini adalah untuk mengubah semula cara Petronas beroperasi supaya mampu bertahan dan seperti syarikat antarabangsa,” katanya.

Beliau menegaskan, kakitangan peringkat tinggi akan diberhentikan termasuk pekerja kontrak manakala pekerja baharu tidak terbabit. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button