Ekonomi

Petronas Chemical catat peningkatan untung bersih kepada RM1.86 bilion

PETRONAS Chemicals Group Bhd (PetChem) mencatatkan peningkatan dalam untung bersih kepada RM1.86 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM186.0 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PetChem memberitahu, peningkatan itu seiring dengan pertambahan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan bahagian keuntungan bersih yang lebih tinggi daripada usaha sama dan syarikat sekutu.

Dalam suku berkenaan, EBITDA lebih tinggi sebanyak RM1.5 bilion pada RM2.2 bilion berikutan peningkatan margin.

Perolehan pada suku berkenaan juga turut meningkat kepada RM5.61 bilion daripada RM3.18 bilion tahun ke tahun, terutamanya disebabkan harga produk petrokimia yang lebih tinggi, disokong kenaikan harga minyak mentah dan pemulihan kukuh dalam permintaan global.

Berasaskan kumulatif, keuntungan bersih syarikat itu melonjak kepada RM3.32 bilion pada separuh pertama 2021 daripada RM692.0 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan untuk tempoh berkenaan meningkat sehingga RM10.28 bilion daripada RM7.07 bilion.

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button