EkonomiNasional

Petronas akan sumbangkan RM59 bilion kepada kerajaan tahun ini

Petronas diramalkan akan menyumbang antara RM55 bilion dan RM59 bilion kepada kerajaan persekutuan tahun ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) di Parlimen, Mustapa berkata, jumlah itu termasuk sumbangan dalam bentuk dividen, cukai korporat dan petroleum, cukai durian runtuh, bayaran tunai petroleum dan duti eksport.

“Daripada anggaran sumbangan antara RM55 bilion dan RM59 bilion, cukai pendapatan petroleum (Pita) bagi 2022 dianggarkan antara RM14 bilion dan RM16 bilion,” katanya.

Mustapa berkata Petronas mengunjurkan jumlah keuntungan selepas cukai untuk 2022 antara RM75 bilion dan RM80 bilion.

Beliau berkata ini berdasarkan unjurannya dalam laporan kewangan pada Mac, di mana gergasi minyak dan gas itu mengandaikan harga minyak mentah Brent akan kekal pada sekitar AS$100 setong dan pengeluaran tidak akan terganggu sepanjang tahun.


Anwar telah meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyatakan unjuran jumlah keuntungan Petronas dan unjuran jumlah pendapatan Putrajaya daripada cukai pendapatan petroleum untuk 2022. – SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button