Politik

BN letak calon wanita dalam edah: Mufti Perlis perjelas hukum

KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) meletakkan calon Zuraida Zarik Khan, seorang wanita di dalam edah untuk bertanding kerusi Parlimen Padang Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam khususnya.

Sekalipun dalam hukum Islam wanita yang kematian suami wajib menjalani edah selama empat bulan 10 hari tetapi apa yang menjadi tanda tanya jenis pendekatan yang boleh digunakan oleh calon berkenaan untuk terus berkempen mengikut yang dibenarkan agama.

Zahida Zarik Khan

Berikutan itu, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin tampil menjawab persoalan ini menerusi hantaran di Facebook (FB) beliau hari ini.

Jelas Mohd Asri calon wanita berkenaan juga telah menghubunginya dan memaklumkan akan mematuhi hukum hakam syarak berkaitan.

Dalam jawapan itu, Mohd Asri berkata, seseorang calon wanita dalam edah kematian tidak boleh keluar bait al-zaujiyyah (rumah kehidupan suami isteri) atau rumah yang dia menetap dalam tempoh edah jika tiada rumah perkahwinan untuk berkempen pilihan raya.

“Dia tidak boleh keluar daripadanya tanpa keperluan dalam meneruskan kehidupannya,” katanya.

Mohd Asri berkata, keluar kempen pilihan raya bukan keperluan hidup yang jika dia tidak keluar maka hidupnya terjejas.

Katanya, hidup seseorang tidak bergantung kepada hal tersebut, kerana jika dia tidak menyertai berkempen pilihan raya pun tidak menjejaskan keperluan asas hidupnya.

“Orang lain juga tidak mendapat kesusahan kerana ketidakhadirannya berkempen,” katanya.

Sehubungan itu, dalam konteks semasa hari ini katanya, pilihan raya hanyalah perebutan kuasa bukan survival kehidupan seseorang.

Katanya, bahkan banyak pihak lain yang boleh melakukan hal yang sama dan tidak bergantung hanya pada orang tertentu sahaja.

Namun katanya, jika seseorang berada dia suatu tempat atau negara yang penyertaannya menentukan survival umat Islam atau keselamatan orangramai, maka dia boleh keluar berkempen dalam konteks itu.

“Pun begitu seseorang calon wanita dalam edah kematian tetap boleh berkempen di rumahnya sama ada melalui orang yang hadir atau melalui media baharu dengan pelbagai teknologi yang ada,” katanya.

Katanya, pada masa yang sama dia (calon) perlu ingat tentang larangan bersolek dan berhias yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.

“Maka kemunculannya dalam sosial media atau di talian atau siaran langsung hendaklah mengambil kira hal tersebut,” katanya. – SM

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button