Nasional

Pesuruhjaya kanak-kanak dalam SUHAKAM dilantik

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan hari ini telah memutuskan mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk menganggotai SUHAKAM.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah cabang khas yang ‘autonomous’ di bawah SUHAKAM bagi meneliti dan mendepani banyak masalah melibatkan penderaan dan masalah-masalah sosial yang lain melibatkan kanak-kanak.
“Dalam hal ini, saya telah dilantik oleh YAB Perdana Menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut.
“Saya melihat perlantikan ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar memandangkan isu penderaan kanak-kanak belum dapat dituntaskan,” katanya dalam kenyataan media.

Malah, katanya, terdapat beberapa isu lain berkaitan kanak-kanak masih lagi berlegar dan belum mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Kanak-kanak memerlukan perlindungan dan perhatian kita. Sehubungan itu, saya akan memperhalusi terlebih dahulu mengenai penubuhan jawatakuasa ini secepat mungkin kerana ia turut melibatkan isu-isu yang terkait dengan kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

Justeru beliau berharap melalui jawatankuasa ini, ia akan diberikan kuasa yang boleh bertindak sebagai badan penyelia mengenai perkara berkaitan pendidikan, hak dan jenayah terhadap kanak-kanak.

Katanya, permasalahan anak-anak yang berbapakan warga asing atau beribukan warga asing akan turut ditangani oleh jawatankuasa ini dengan pelaksanaan dalam kadar segera oleh Kementerian Dalam Negeri.

”Ini juga merupakan satu lagi usaha di bawah Kerajaan Perpaduan yang prihatin untuk memberi pelindungan kepada kanak-kanak yang tidak sah taraf.

”Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datum Seri Azalina Othman Said, yang telah mencadangkan sebelum ini agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak akhirnya bakal diwujudkan melalui penggubalan satu akta yang baharu,” katanya.

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button