NasionalNegeriPendidikan

Peserta MFLS Tier 3 teruja dengar motivasi Pemangku Raja Perlis

PARA peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2023 teruja dan lebih bersemangat mendengar motivasi yang berkenan dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Ia diadakan sempena majlis Titipan Titian Kasih Bersama Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang disempurnakan oleh Baginda berdua.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan memberikan motivasi kepada peserta MFLS Tier 3 Tahun 2023.

Program dari 5 sehingga 19 Mei depan ini diadakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur.

Objektif utama program MFLS Tier 3 adalah berdasarkan tujuh elemen iaitu kepimpinan, pembentukan watak dan jati diri, kenegaraan, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan.

Menyambut keberangkatan tiba Baginda berdua, Ketua Pengarah i-LEAD, Mohd Haswandi Ahmad, Presiden Majlis Perwakilan MFLS, Muhamad Fahim Mohd Farid dan Timbalan Presidennya, Putry Balqees Aqasyah Mohd Fadhly.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen disambut peserta MFLS Tier 3 Tahun 2023 di IYC Cheras.

Turut hadir ke majlis khas yang turut dijayakan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pada kali ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Ketua Setiausaha KBS, Nagulendran Kangayatkarasu serta Pengurusan Tertinggi KBS.

Program Titipan Titian Kasih merupakan modul program di bawah elemen kenegaraan iaitu Institusi Beraja.

Modul ini bertujuan untuk mendekatkan rakyat khususnya belia dengan Institusi Beraja selain memahami realiti dan fakta tentang kepentingan sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan.

Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai pengisian disampaikan kepada para peserta antaranya Bicara Tamu, Komunikasi Berimpak Tinggi, Bicara Ikon, Bicara Kenegaraan, Karnival Sukan, Kesukarelawanan, Outreach Agensi, Lawatan Parlimen dan ASEAN Cultural Heritage.

SEBAHAGIAN peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2023 teruja dapat berswafoto dengan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

MFLS Tier 3 melibatkan 150 orang yang terdiri dalam kalangan peserta terbaik program MFLS Tier 2 pada tahun 2020, 2021 dan 2022.

Mereka dipilih melalui proses saringan dan sesi temu duga yang telah dilaksanakan di seluruh negara pada 17 hingga 21 Mac lalu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika bertitah pada majlis tersebut, “Para peserta MFLS Tier 3 merupakan aset berharga yang telah di asah bakat dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan program untuk mengembangkan potensi sebenar mereka”.

Pemangku Raja berdoa agar program ini terus berjaya membentuk legasi kepimpinan negara masa hadapan yang mempunyai mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan dan dipermudahkan perjalanan menuju kejayaan. – SM

BACA Masyarakat, kakitangan kesihatan perlu bersatu untuk sihat – Pemangku Raja Perlis

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button