Nasional

PKPD memang perlukan pengumuman dua hari awal, yang lari akan ditahan

PENGUMUMAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mana-mana kawasan memang perlu diberitahu dua hari lebih awal.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengumuman awal itu perlu untuk tujuak persediaan bagi semua pihak yang terlibat.

“Tujuan kita daripada segi persediaan, supaya polis dapat gerakkan anggota mereka, nak bawa kawat berduri, nak laksanakan sekatan jalan raya bukan sahaja di laluan besar, tetapi juga di lorong-lorong tikus.

“Persediaan Kementerian Kesihatan pula melibatkan saringan secara bersasar. Semuanya perlu persediaan dan sebab itu kena ada dua hari.

“Malah, mereka yang berada di luar kawasan PKPD juga boleh pulang semula ke rumah mereka sekiranya berada di luar kawasan,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Hari ini, beberapa media melaporkan terdapat penghuni yang melarikan diri dari kawasan Hentian Kajang selepas arahan PKPD dikeluarkan di kawasan tersebut.

Namun, Ismail Sabri mengakui memang ada yang melarikan diri sebaik sahaja pengumuman PKPD dimaklumkan.

Malah, jelasnya, PKPD sebelum ini pun sudah ada yang melarikan diri sebelum ditahan oleh pihak berkuasa.

“Dahulu sewaktu pelaksanaan PKPD di Selangor Mansion, ada pekerja asing yang melarikan diri tetapi akhirnya ditangkap.

“Saya dimaklumkan mereka yang ditahan ini tidak dibawa pulang ke rumah, tetapi dibawa ke balai polis untuk diambil tindakan serius,” ujarnya.

Justeru, Ismail Sabri menasihatkan kepada semua supaya jangan lari jika PKPD dilaksanakan di kawasan mereka kerana itu adalah yang terbaik.

Tambahnya, mereka boleh membuat saringan di lokasi PKPD daripada melarikan diri dan pulang semula bersama keluarga dengan membawa penyakit. -SM

(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button