Nasional

Penyelidik UPSI dokumentasi Reflesia Bukit Slim

SEKUMPULAN penyelidik daripada Jabatan Biologi, Fakulti  Sains dan Matematik(FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), buat pertama kalinya berjaya  mendokumentasikan kewujudan bunga pakma atau Rafflesia di Lata Harimau, Hutan Simpan Bukit Slim, Ulu Slim, Perak.

Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah

Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata ramai beranggapan bunga terbesar di dunia, pakma atau Rafflesia hanya terdapat dalam hutan di Sabah ,namun kawasan hutan hujan tropika di Perak juga dihuni tiga daripada 20 spesies yang ada di dunia iaitu Rafflesia Kerrii, Rafflesia Cantleyi dan Rafflesia Azlanii.
Mengikut rekod, katanya, sebelum ini Rafflesia ditemukan hidup liar di beberapa hutan simpan di Perak, termasuk di Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Gerik.

Beliau berkata lokasi penemuan Rafflesia di daerah Muallim adalah hasil komunikasi bersama penduduk Orang Asal yang mendiami kawasan perkampungan berdekatan di Bukit Slim.

Penyelidik UPSI yang menemui Reflesia di Lata Harimau, Hutan Simpan Bukit Slim, Ulu Slim, Perak.

“Ia menjadi titik mula pembentukan kumpulan penyelidikan Rafflesia di bawah Pusat Konservasi Biodiversiti (CEBEC) UPSI yang diketuai oleh Dr. Azi Azeyanty Jamaludin dan beberapa orang pensyarah dan penolong pegawai sains Jabatan Biologi, FSM, UPSI.

Dr. Azi Azeyanty berkata usaha mendokumentasikan perkembangan Rafflesia di Lata Harimau, Hutan Simpan Bukit Slim, Ulu Slim, itu dilakukan kumpulan penyelidik iaitu Abdul Rahman Kunju Baba, Norfaizi Othman dan  Puan Marina Karunzaman yang melakukan 12 kali lawatan dari awal hingga penghujung tahun lalu dan berhasil memelihara beberapa kudup bunga Rafflesia sehingga akhirnya berkembang mekar.

Ketua Penyelidik, Dr. Azi Azeyanty Jamaludin

“Usaha yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak ini adalah ekspedisi pertama bagi menjejaki lokasi Rafflesia tersebut dilakukan pada Februari 2022 dan berjaya menemukan sejumlah 20 kudup bunga Rafflesia.

Walau bagaimanapun, katanya, hasil daripada lawatan berkala ke lokasi tersebut mendapati kudup bunga Rafflesia mula berkurangan kerana dikutip oleh penduduk tempatan, sama ada untuk dijadikan sebagai ubat mahupun jualan kepada pihak luar.
Katanya, Rafflesia yang pertama kali mekar di bumi Muallim bertuah ini dikenalpasti sebagai spesies Rafflesia cantleyi di mana pengecaman spesis dilakukan oleh pakar botani FSM, Zahid Mat Said dan disahkan melalui rujukan DNA oleh Dr. Azi Azeyanty Jamaludin.

Abdul Rahman Kunju bersama Reflesia yang ditemui.

Rafflesia cantleyi itu dikatakan hanya ditemui di Perak, Kelantan, Kedah, Pahang dan Pulau Tioman, malah hampir sama dengan Rafflesia hasseltii, kecuali bilangan ketuat pada lobus perigone kedua-dua spesies sedikit berbeza.

Spesies yang ditemui dikenalpasti sebagai Rafflesia cantleyi, pertama kali dijumpai di Daerah Muallim

“Satu lagi ciri tersendiri Rafflesia cantleyi ialah keupayaannya untuk membentuk bunga pada bahagian ‘aerial’ hos Tetrastigma sp. Rafflesia cantleyi ini dinamakan sempena nama kurator Taman Botani Singapura iaitu Nathaniel Cantley ,” katanya. -SM

(Visited 439 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button