Nasional

Raja Muda Perlis bertegas agar rakyat patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

 

21 Mac 2020.
Kangar.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar rakyat Perlis mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diarahkan oleh Kerajaan tanpa sebarang alasan.

Rakyat diminta untuk tidak keluar daripada rumah masing-masing tanpa sebab yang kukuh sehingga tempoh PKP ini berakhir.

Menurut baginda, semua rakyat perlu mengambil sikap bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh ‘Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ dalam mematuhi arahan dan larangan-larangan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan.

“Jangan bersifat degil dan ambil mudah kerana sikap ini akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat, negeri dan negara. Kita tidak mahu kegagalan tempoh dua minggu ini mengakibatkan tempoh ini dilanjutkan dan meningkatkan kes yang lebih banyak malah lebih buruk lagi sekiranya arahan ‘Perintah Berkurung’ terpaksa diambil oleh pihak Kerajaan kelak.” titah baginda.

Demikian titah baginda menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada pagi ini.

Di Perlis juga telah mencatatkan 9 kes dan perkara ini harus diberikan perhatian serius.

Menurut baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs, dalam tempoh pengawalan ini rakyat masih lagi boleh keluar bekerja bagi sektor berkepentingan dan yang dikecualikan, membeli makanan, barang keperluan, mendapatkan perubatan dan merentas negeri atas urusan yang tidak dapat dielakkan.

Setelah 3 hari pelaksanaan PKP, masih terdapat segelintir rakyat yang bukan sahaja mengambil mudah, bahkan ada yang melakukan tindakan seolah-olah menidakkan kepentingan pelaksanaan PKP.

Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah melakukan yang terbaik dengan seberapa hemah yang boleh dalam memastikan PKP dipatuhi dan usaha mereka sewajarnya dihargai oleh semua rakyat memandangkan fokus utama pasukan PDRM adalah untuk memastikan ketenteraman dalam negara dan tidak sepatutnya dibazirkan pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Tambah dukacita ialah akibat kedegilan banyak di antara kita semua juga, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa diaturgerakkan sama sedangkan mereka sepatutnya sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara dari segala bentuk ancaman dalam dan juga luar.

Sudah sewajarnya seluruh rakyat memahami keperluan pelaksanaan PKP ini supaya keadaan negeri dan negara kita pulih dan bebas dari penularan wabak COVID-19 secepat mungkin. Janganlah kita bertindak seperti meminta perintah berkurung dilaksanakan sedangkan kita masih mempunyai pilihan untuk menghentikan penularan wabak ini dengan kaedah PKP.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa sebagai langkah mematuhi PKP, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga telah bersetuju membuat pelanjutan tarikh penangguhan aktiviti masjid dan surau seluruh Negeri Perlis sehingga 31 Mac 2020 atau ke satu tempoh baru kemudian sekiranya dilanjutkan oleh pihak Kerajaan, selain mengumumkan kaedah pengurusan jenazah pesakit COVID-19.

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button