MahkamahNasionalNegeri

Pesawah minta dibicara atas tuduhan dera anak tiri

Seorang pesawah yang didakwa mendatangkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuan tirinya yang berusia enam tahun telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Sofi Ramli, 34, mahu kes itu dibicarakan sebaik sahaja dibacakan pertuduhan ke atasnya dihadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut kertas pertuduhan bahawa tertuduh antara 8 hingga 14 Mac lalu didapati menganiaya kanak-kanak perempuan berkenaan dengan mendatangkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Alor Lancang Jejawi, Arau.

Perbuatan ini membawa kepada kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 itu membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Jun Keong telah meminta mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta arahan tidak boleh mendekati mangsa.

Peguambela, Syed Muhammad Anwar pula meminta jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh hanya bekerja sawah dengan pendapatan tidak menentu serta menanggung isteri tidak berkerja dan tiga anak termasuk mangsa.

Hakim Musyiri memutuskan 3 Me depan sebagai tarikh sebutan semula.

Tertuduh juga dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat.

Selain itu, tertuduh juga dilarang sama sekali mendekati mangsa selama tempoh jaminan.

Mahkamah turut diberitahu mangsa kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada 27 Mac lalu, polis menahan seorang lelaki selepas seorang guru tadika melaporkan anak muridnya dipercayai menjadi mangsa dera.

Guru itu telah melakukan pemeriksaan terhadap badan kanak-kanak berkenaan di Tabika Kemas Jejawi dan mendapati terdapat beberapa kesan lebam lama dan baru. – SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button