Kemalangan

Wanita maut elak bangkai anjing

Gara-gara mengelak bangkai seekor anjing di tengah jalan seorang operator kilang maut selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Tun Fatimah, berhampiran sebuah pusat servis kenderaan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa dikenali sebagai, Nur Eliya Ezzatul Rabu, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat
kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Bukit Rambai menghala ke Batu Berendam.

“Sewaktu sampai di tempat kejadian, mangsa cuba mengelak bangkai seekor anjing yang berada di tengah jalan.

“Mangsa hilang kawalan menyebabkan dia terjatuh sebelum sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 31 tahun terus melanggar mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya akan cuba mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button