Rencana

Tinggalkan solat Jumaat: Nak jaga diri atau agama?

Oleh SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD al-BAKRI, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Saya terbaca di Facebook, ada pertikaian berkenaan larangan untuk menunaikan solat Jumaat kerana menurutnya, solat Jumaat adalah satu bentuk pemeliharaan agama (hifz al-din).

Maka, tidak dapat tidak ia adalah satu dharuriyyah. Walaupun memelihara nyawa (hifz al-nafs) juga adalah dharuriyyah, tetapi ia tetap berada di bawah hifz al-din.

Justeru, solat Jumaat tetap wajib dan larangan itu bercanggah dengan maqasid al-syariah. Lalu dia bertanya dengan nada yang agak emosional, “Nak jaga diri atau jaga agama?”

Saya tersenyum. Maqasid al-syariah sememangnya mudah untuk difahami secara umum sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Raisuni dalam Maqasid al-Maqasid.

Ia boleh difahami berdasarkan penjelasan para ulama, mengambil manfaat ‘amali daripadanya untuk meningkatkan semangat dan kefahaman dalam melaksanakan ibadah.

Tetapi aplikasinya tidak semudah yang disangka. Semata-mata pembaca bidang maqasid, tidak melayakkan seseorang itu mengistinbatkan maqasid daripada dalil-dalil syarak, kerana ia merupakan tugas para ulama dan mujtahid.

Maqasid al-syariah adalah prinsip-prinsip yang menyediakan jawapan kepada banyak persoalan-persoalan kehidupan berkaitan syariat.

i. Mengapa menunaikan zakat adalah “rukun” dalam Islam?ii. Apakah manfat fizikal dan spiritual bagi puasa dalam bulan Ramadhan?
iii. Mengapa minum arak itu satu dosa besar dalam Islam, walaupun sedikit?
iv. Apakah kaitan antara hak asasi manusia pada hari ini dengan syariat Islam?
v. Bagaimana syariat Islam boleh menyumbang kepada pembangunan dan ketamadunan?

Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT hanyalah untuk memberikan kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia. Ia bertepatan dengan objektif hukum Islam untuk memelihara kepentingan dan keperluan manusia di dunia dan akhirat.

Atas asas ini sebagaimana kata Imam Al-Syatibi, wujudnya keperluan berbentuk dharuri, haji dan tahsini bagi manusia untuk dijaga dan dipelihara. Segala perintah dan larangan Allah SWT adalah untuk menjaga ketiga-tiga keperluan ini.

Dharuriyyah adalah perkara yang berkaitan dengan pemeliharaan agama (hifz al-din), nyawa (hifz al-nafs), harta (hifz al-mal), harta (hifz al-mal), akal (hifz al-mal) dan keturunan (hifz al-nasl). Imam al-Mahalli menyebutkan dalam Syarh Jam’ al-Jawami’: “(al-Dharuri) ialah sesuatu yang sangat diperlukan sehingga sampai ke tahap terdesak, terpaksa dan tidak dapat dielakkan.”

Menurut Ibn ‘Ashur dalam Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah, maqasid daruriyyah adalah maslahat yang sangat penting untuk didapatkan bagi umat secara keseluruhan dan individu, di mana peraturan akan cacat tanpanya. Apabila ia tidak dilaksanakan, maka keadaan umat akan rosak dan kacau bilau.

Apa yang boleh kita fahami dengan hifz al-nafs? Ibn ‘Ashur menyebutkan:

“Makna hifz al-nafs iaitu memelihara ruh individu dan masyarakat keseluruhannya daripada terjerumus ke lembah kebinasaan. Hal ini kerana alam adalah terdiri daripada beberapa unit individu manusia yang mempunyai keunikan sebagai asas kepada ketamadunan dunia.

Hifz al-nafs bukan bermaksud melaksanakan hukuman qisas semata-mata sebagaimana yang yang difahami oleh sebahagian para fuqaha’, malah hukuman qisas adalah elemen yang tersangat lemah dalam hifz al-nafs kerana ia akan menghilangkan sebahagian daripada nyawa.”

Justeru, memelihara nyawa manusia lebih baik daripada menjatuhkan hukuman sebagaimana mencegah penyakit yang berjangkit adalah lebih utama daripada merawatnya.”

Memelihara nyawa (hifz an-nafs) adalah memelihara maruah, persaudaraan dan kesaksamaan sosial, keadilan, keselamatan hidup, harta dan maruah, pemerintahan yang baik, mengurangkan kadar kemiskinan dan memnuhi keperluan pekerjaan, pengagihan saksama pendapatan dan kekayaan, perkahwinan dan kehidupan keluarga yang stabil, perpaduan sosial dan pengurangan jumlah jenayah serta keamanan dan kestabilan.

Betapa pentingnya hifz al-nafs ini sehingga ada sebahagian ulama’ yang menulis khusus berkenaan hal ini antaranya al-Balkhi melalui bukunya Masalah al-Abdan wa al-Anfus. Imam al-Syatibi

Sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengekang sebarang risiko yang boleh membawa kehilangan nyawa rakyatnya.

Dalam konteks COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan adalah antara kaedah terbaik. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan menghadapi kemusnahan, manakala ketenteraman dan keamanan pula akan hilang.

Solat Jumaat itu adalah satu kewajipan. Namun, kelonggaran tetap ada kepada yang uzur.

Sebagaimana Dr. Muhammad al-Zuhaili menghuraikan tentang uzur bagi yang dibenarkan untuk tidak menunaikan solat Jumaat, “Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.”

Akhirnya, kita akan dapat satu jawapan; matlamat hifz al-din takkan tercapai kecuali dengan hifz al-nafs. Benarlah kata Saidina Ali rahimahullah

الدين أس والسلطان حارس، فمالا أس له فمهدوم، ومالا حارس له فضائع.

“Agama itu asas, pemerintah adalah penjaga, sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh, sesuatu yang tiada penjaga akan hilang”-SM

(Visited 437 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button