Politik

Apabila komponen di buli, siapa yang menang?

SUARA MERDEKA- Nampak gayanya kemelut

demi kemelut semakin menghantui beberapa kerajaan negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jika sebelum ini dua negeri yang dipimpin oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu di Kedah dan Perak pernah bergolak atau boleh kita katakan ‘dibuli’ oleh rakan dalam komponen sebagai cubaan menggulingkan kerajaan negeri yang memerintah.

Yang terbaru pergolakan di Melaka pula yang dikatakan diketuai oleh Bersatu cuba untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan parti Amanah bersama dengan pembangkang yang terdiri dari UMNO.

Inilah padahnya jika parti yang memerintah di peringkat negeri hanya memperoleh majoriti kecil menjadikan kerajaan negeri yang dipimpin menjadi amat rapuh sehingga sering sahaja timbul perbalahan dan pergolakan yang memungkinkan timbul ura-ura akan berlaku perubahan kepimpinan.

Namun itulah hakikatnya dalam politik tidak ada salah dan betul. Dan tidak ada juga lawan dan kawan yang setia.

Malah tetapan Machiavelli sentiasa menjadi ukuran dalam politik Malaysia Baharu bahawa “Politics have no relation to morals” dan seterusnya diamalkan diktum popular beliau yang lahir hasil dari penulisan bukunya yang popular, “The Prince” iaitu matlamat menghalalkan cara atau “End justify the means”.

Lumrahnya manusia sukar untuk berlaku setia apabila melibatkan kuasa.

Sama juga keadaannya apabila melibatkan wang dan wanita, manusia tidak akan pernah puas dan senantiasa tidak pernah cukup.

Memang nampak lumayan habuannya apatah lagi jika iman seseorang itu terlalu lemah. Dan akhirnya nasib rakyat yang malang kerana sering menjadi mangsa keadaan mereka yang rakus.

Dalam soal rakus dan politik ini kita pernah dikejutkan diperingkat awal pemerintahan PH apabila wujud persoalan apakah PKR sedang merancang komplot untuk merampas kedudukan Menteri Besar Kedah daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ini berikutan tindakan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul bahawa beliau boleh melakukan perkara yang hebat di Kedah jika Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimennya untuk kembali ke Parlimen.

Namun perkara itu tidak menjadi kenyataan dan ia sepi begitu sahaja, namun masih kedengaran sok sek sok sek di sana sini bahawa gerakan itu sebenarnya belum berakhir.

Apabila reda isu berkenaan timbul pula gosip yang seolah-olah betul bahawa ada exco kerajaan negeri cuba merampas kuasa Menteri Besar Perak.

Ini berikutan bertebarannya sebuah rakaman audio yang dikatakan suara milik Dr. Aziz Bari menyerang kredibiliti Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah viral di media sosial.

Bagaimanapun walaupun Aziz dan kesemua 10 ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Perak hadir sidang akhbar yang menyatakan taat setia kepada Ahmad Faizal, namun beberapa jam kemudian Aziz menyatakan kehadirannya adalah semata-mata atas arahan.

Kata Aziz, “everyone knows the game” sekali gus mahu memberitahu bahawa adanya sandiwara di belakang tabir pihak yang mahu menggulingkan Ahmad Faizal.

Bagi Ahmad Faizal pula dakwaan Aziz ini umpama duri dalam daging kerajaan PH Perak kerana ia tidak lebih kerana ghairah mahu jadi Menteri Besar.

Akhirnya perkara berkenaan tidak

menjadi kenyataan malah pemimpin dan ahli DAP pula yang bercakaran sesama sendiri kebelakangan ini.

Pastinya perkembangan di dua negeri ini menarik minat masyarakat kerana ia menunjukkan Kerajaan PH di Kedah dan Perak tidaklah segagah mana.

Dan terbaru secara tiba-tiba ‘ribut bertiup kencang’ bahawa dikhabarkan kemungkinan akan berlaku ‘rampasan kuasa’ di Melaka.

Beberapa portal berita melaporkan, sebanyak 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dan kemungkinan empat lagi ADUN PH akan bekerjasama mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Adly Zahari semasa mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan.

Jika benar ini akan membolehkan ADUN pembangkang dan kerajaan mencipta sejarah bekerjasama memilih ketua menteri baharu.

Dikatakan penggerak utama kerjasama dengan pembangkang ini sering menimbullan kontroversi sebelum ini kerana sering bertindak tidak sehaluan dengan kepimpinan PH negeri.

Oleh itu jika dilihat pada tokoh yang sentiasa menimbulkan kontroversi ini maka tidak mustahil ia lebih terarah kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Ketika ini kerajaan negeri dibentuk bersandarkan sokongan 8 ADUN dari DAP, 3 dari PKR, 2 dari Amanah, dan 2 dari Bersatu.

Pembangkang pula hanya terdiri dari UMNO yang memiliki 13 kerusi. Namun dikatakan pembangkang pula tidak sehaluan dan wujud dua kem antara bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh.

Dikatakan Mohd Rafiq yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka mahu mewujudkan kerajaan pintu belakang berikutan serangan berterusan beberapa pimpinan DAP menyerang kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri.

Bagaimanapun Ketua Menteri Adly Zahari tetap menafikan wujud komplot membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ di negeri itu.

Melihat suasana ini apa lagi yang boleh kita katakan selain tidak ada apa yang berubah dalam Malaysia Baharu.

Kalau benar ia membawa kebaikan untuk orang Melayu mungkin lebih baik ia menjadi kenyataan.

Tetapi paling penting apa pula pandangan dan sangkaan orang ramai yang mengundi mereka pada pilihan raya umum lalu.

Ia sebenarnya tidak membawa apa-apa yang signifikan selain hanya untuk memenuhi tembolok pihak-pihak tertentu.

Mungkin adalah lebih baik saja jika semua parti yang berteraskan orang Melayu dan Islam itu bekerjasama tentang masa depan kaum mereka yang semakin terhimpit oleh pihak yang memperjuangkan konsep sama rata dan sama rasa.

Itu adalah lebih baik kerana pihak yang satu lagi hanya tersenyum dan bertepuk tangan melihat orang Melayu terus berpecah belah dan bertelagah kerana hakikatnya kuasa sebenar sudah ada di tangan mereka.

(Visited 70 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button