Nasional

Peruntukan RM2 bilion bagi insentif penggajian JaminKerja

PANDEMIK Covid-19 telah memberi kesan yang signifikan kepada pekerjaan dan mata pencarian rakyat dengan kadar pengangguran telah meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kadar tersebut telah menurun kepada 4.6 peratus pada Ogos 2021, hampir 750 ribu individu yang menganggur dan perlu dibantu.

“Kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau JaminKerja akan menjamin penyediaan 600 ribu peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

“Kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300 ribu orang dan peruntukan RM 2 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, di bawah inisiatif ini, majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Ujarnya, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti OKU, Orang Asli dan banduan, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,200 ke atas.

Tambahnya, insentif ini turut dipanjang kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah bagi menggalakkan wanita kembali bekerja.

Tengku Zafrul turut berkata inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme atau Mystep akan diteruskan dengan menawarkan 80 ribu peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50 ribu pekerjaan dalam sektor awam dan 30 ribu pekerjaan dalam Syarikat Bekaitan Kerajaan mulai Januari 2022.

“Bajet ini turut menyasarkan 220 ribu pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program place and train iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan dan program Global Online Workforce atau GLOW di bawah MDEC,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata sebagai usaha menggalakkan Keluar Malaysia mengikuti program latihan serta menceburi bidang baharu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga tahun 2023.

Tambahnya, Individu yang mengambil kursus dengan badan-badan profesional yang diluluskan layak mendapat pelepassan cukai ke atas yuran sehingga RM7,000. -SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button