Rencah Hidup

Spera: Identiti laksa Kuala Perlis

SEBUT Spera, ramai yang tidak tahu apakah bendanya ini. Kalau orang Kuala Lumpur atau KeyEl, mati hidup balik, memang tak pernah dengar Spera melainkan orang Utara. Namun di bahagian utara tanah air pun, hanya sesetengah tempat sahaja yang tahu spera iaitu sejenis kuih lama.

Jika dilihat pada bentuknya memang saling tak tumpah seperti karipap manakala isi dalamnya pula sama dengqn inti cucur badak.

Spera yang siap dikelim. Rupanya macam karipap!

Hah! Kombinasi karipap dan cucur badak, dinamakan spera. Bukan nama lain seperti kacur, papdak (sekadar melawak di hari Jumaat). Nama kuih lama ini ialah spera!

Bagi peminat spera khususnya di Perlis, jangan sesekali mencarinya di tempat lain. Memang tidak akan jumpa kerana setakat ini, spera hanya  boleh didapati di Kuala Perlis.

Seingat penulis, hanya wanita Kuala Perlis sahaja yang tetap gigih menghasilkan kuih lama ini sejak sekian lama.

Spera bentuk macam karipap tetapi isinya seperti inti cucur badak.

Ini kemungkinan Kuala Perlis terkenal dengan laksa dan biasanya kuih spera ini, selain pulut udang, sering digandingkan sebagai penyedap tambahan apabila menikmati laksa.

Kalau nak tahu, inti kelapa yang manis-manis pedas serta rapuh kulit spera ini, apabila ditabur ke atas laksa akan menjadikan ia luar biasa enaknya. Kecur air liur dibuatnya!

Tinjauan SUARA MERDEKA juga mendapati, setakat ini hanya tinggal beberapa orang wanita sahaja yang masih gigih membuat kuih spera di Kuala Perlis.

MARIANA MANSOR

Salah seorangnya, Mariana Mansor, 63, dari Kampung Tengah Kuala Perlis yang mewarisi resipi neneknya yang dikenali sebagai “Tok Intan Spera”.

“Sayapun baharu setahun membuat jualan spera ini. Itupun untuk dijual di gerai adik yang memulakan perniagaan menjual laksa,” katanya.

Oleh sebab mewarisi resipi neneknya maka tidak hairanlah jika kuih spera buatan Mariana laris atau laku keras.

Mariana mengakui, setiap hari dia hanya mampu menghasilkan sehingga 300 biji spera sahaja dan dibantu oleh adiknya, Marishah, 58, dan ibu saudara, Ramlah Hamid, 72.

Kata Mariana, lazimnya dia memulakan kerja membuat spera dari pukul 9 pagi sehingga 1 petang.

“Kerja membuat spera ini agak lambat terutamanya di peringkat mengelim,” jelas beliau.

SPERA kuih lama yang hanya ada di Kuala Perlis.

Mariana berkata, biasanya spera yang dibuatnya boleh tahan selama dua hari sekalipun tidak diletakkan dalam peti sejuk.

Katanya lagi, dia akan memastikan inti spera dimasak betul-betul kerana itu akan membuatkan spera yang dihasilkannya, tahan lama. – SM

(Visited 919 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button