Politik

Perubahan UMNO: Suara Pemuda kini garang

GOLONGAN muda yang menyokong UMNO termasuk Pergerakan Pemdua di peringkat Bahagian dan pusat kini dilihat ‘garang’ dalam menyuarakan perubahan parti.

Ini termasuklah, desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya berehat dan menggesa satu kepimpinan baharu mengemudi parti.

Malah, terdapat juga persoalan dilemparkan kepada persediaan parti untuk meletakkan kepimpinan yang berbeza dalam parti dan kerajaan.

Itu semua menjadi titik tolak perubahan yang diharapkan berlaku dalam UMNO menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang termasuklah pemilihan parti nanti.

“Proses peremajaan UMNO pun sudah berlaku, UMNO sudah mula memberikan peluang kepada orang muda yang ada bakat.

“Tetapi, angin perubahan dalam UMNO berlaku, untuk gantikan yang tua kepada yang muda pun tetap kena berlaku.

“Kepada pemimpin yang sudahpun memegang jawatan tertentu termasuklah menjadi wakil rakyat lebih 30 tahun, berilah peluang kepada muka baharu.

“Muka baharu bukan sahaja kepada yang muda, tetapi beri peluang kepada mereka yang belum pernah menjawat sebarang jawatan sebab, di situ boleh dinilai, berani ke tidak UMNO membuat perubahan.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menjadi rujukan kepada keberanian UMNO menukar kepimpinan lama kepada muka baharu dan orang muda.”

Demikian antara ulasan diberikan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Aizat Azam dalam satu temubual bersama Astro Awani dalam Dialog UMNO: Angin perubahan melanda UMNO?

Turut bersama dalam wawancara yang dihoskan oleh Wartawan, Nazri Kahar adalah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau dalam wawancara itu turut memaklumkan antara sebab perubahan dalam UMNO berlaku adalah kewujudan polemik dalam kepimpinan termasuklah isu penjajaran baharu.

Katanya, keputusan Majlis Tertinggi UMNO menolak kerjasama dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP serta menyokong kerajaan Perikata Nasional (PN) adalah menjadi dasar parti.

Namun, kemudian wujud kumpulan-kumpulan yang tidak sehaluan dengan dasar parti.

“Di situ menjadi titik tolak kepada perpecahan dan desakan perubahan dalam UMNO termasuklah menyentuh peralihan kepimpinan dan desakan diadakan PRU secepat mungkin.

“Malah apabila timbul isu surat untuk sokong kepada Anwar-DAP dan tindakan itu bertentangan dengan dasar parti, maka kredibiliti presiden pula menjadi persoalan.

“Selain itu, dakwaan kata akar umbi tidak setuju kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun tidak sampai 100 Bahagian.

“Oleh sebab itu rakyat seperti tidak sabar untuk tunggu peralihan kepimpinan dalam UMNO,” tegasnya. – SM

 

(Visited 397 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button