Nasional

Pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan

Kerajaan menyasarkan pertumbuhan ekonomi dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan sekitar empat hingga lima peratus bagi 2023 kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Menurutnya, momentum pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan, malah lebih mengukuh bagi suku ketiga 2022 dan ekonomi negara dijangka berkembang lebih baik daripada unjuran Mac lalu antara 5.3 hingga 6.3 peratus.

Beliau berkata, dengan indikator ekonomi yang terus menyokong trend pertumbuhan, kerajaan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 kepada antara 6.5 hingga 7 peratus.

Jelasnya, pemulihan tahun 2022 bukanlah semata-mata tentang KDNK sahaja sebaliknya ke arah kehidupan rakyat juga telah bertambah baik.

“Kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu daripada 4.8 peratus pada Julai 2021 menurun kepada 3.7 peratus pada Julai 2022. Dengan hanya setahun, Kerajaan Keluarga Malaysia berjaya kembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh.

“Keyakinan pengguna juga telah kembali pulih apabila nilai jualan dagangan borong dan runcit bagi Julai 2022 telah melonjak 41 peratus berbanding Julai 2021.

“Bagi tujuh bulan pertama, nilai keseluruhan perdagangan borong dan runcit mencecah 882 bilion ringgit iaitu 20 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama 2021,” ujarnya.

Tengku Zafrul berkata, pun begitu, pemulihan ekonomi negara yang terus mengukuh ini tetap tidak terkecuali daripada berdepan ketidaktentuan ekoran perkembangan global, kadar inflasi negara telah meningkat daripada 2.3 peratus pada Januari 2022 kepada 4.7 peratus pada Ogos 2022.

Katanya, jika tidak kerana bantuan dan subsidi kerajaan sebanyak RM77.7 bilion kadar inflasi Malaysia sepatutnya akan lebih tinggi dan boleh mencecah sehingga 10 peratus.

Jelasnya, ekoran kadar inflasi yang tinggi dihadapi negara-negara lain terutamanya Amerika Syarikat (AS) yang mencecah 8 peratus, dasar monetari negara terbabit telah diketatkan secara agresif, dengan kadar faedah dinaikkan sebanyak 300 mata asas tahun ini.

Tinjauan ekonomi dunia bagi tahun 2023 akan semakin tidak menentu dan mencabar susulan konflik geopolitik, tekanan inflasi global, dasar monetari yang mengetat dan prospek pertumbuhan ekonomi yang
lemah.

Pada Januari 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi dunia 2023 pada kadar 3.8 peratus. Namun, pada Julai lalu, IMF telah menyemak semula unjuran 2023 kepada 2.9 peratus. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button