Mahkamah

Pertuduhan pecah amanah Zahid tidak berasas, berniat jahat – Peguam

PERTUDUHAN keenam iaitu pecah amanah oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membabitkan wang hampir RM18 juta adalah tidak berasas.

Peguam bela Hisham Teh Poh Teik berkata demikian ketika menyoal balas saksi pendakwa ke-93 seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Fazli Zulkifli di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hisyam berkata, meskipun wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank milik Yayasan Akalbudi ke akaun Tetuan Lewis & Co, wang itu masih dimiliki oleh yayasan tersebut.

Beliau berkata, ini menunjukkan pihak pendakwaan mempunyai niat jahat apabila mengemukakan pertuduhan berkenaan ke atas Ahmad Zahid.

Pihak pendakwa membantah tetapi pihak pembela menekankan ia perlu disebut di dalam perbicaraan kes ini.


Saksi pada mulanya tidak bersetuju dengan pandangan peguam bela tentang perkara itu tetapi kemudian bersetuju bahawa Ahmad Zahid tidak sepatutnya dituduh dengan tuduhan pecah amanah.

Hisyam: Daripada apa yang telah Encik Fazli telah pastikan tadi, setuju kalau saya katakan, langsung tidak ada asas berkenaan pertuduhan keenam yang telah dikemukakan. Setuju atau tidak?

Fazli: Tak setuju

Hisyam: Saya tanya sekali lagi, sebab apabila wang telah sampai ke (akaun) Lewis & Co, pemilik wang adalah sama, Yayasan Akalbudi, oleh sebab itu, tak boleh dikatakan Datuk Seri (Zahid) telah melakukan pecah amanah. Setuju atau tidak?

Fazli: Setuju.

Hisyam: Dengan hormat, saya katakan, apabila pendakwaan mengemukakan pertuduhan tersebut, pihak pendakwaan mempunyai niat jahat?

Fazli: Saya tak setuju.

Fazli merupakan pegawai yang bertanggungjawab menyiasat penglibatan Ahmad Zahid dalam pengubahan wang haram berkaitan pembelian sijil simpanan tetap dan saham Syarikat Ri-Yaz Assets Sdn Bhd (Ri-Yaz Assets) berjumlah RM17,953,185.21.

Pada Jumaat lalu, Fazli memberitahu mahkamah berkenaan urusan jual beli saham antara anak Ahmad Zahid, Nurulhidayah dengan bekas pengarah Ri-Yaz Assets, Abdul Rashid Abdul Manaf, serta aliran wang tunai antara Yayasan Akalbudi, Tetuan Lewis & Co, Ri-Yaz Assets dan Exim Bank serta pertukaran ke simpanan tetap.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, namun ia dinafikan oleh saksi Ogos tahun lalu. – SM

(Visited 252 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button