Agama

Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia perkemas aktiviti dakwah

ARAU: Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia kini menggagaskan strategi yang lebih tuntas – fokus kepada gerak kerja dakwah setempat, peluasan dakwah digital merentas sempadan, serta mempergiat usaha kebajikan yang lebih tersusun dan berimpak kepada masyarakat.

Demikian dipersembah maklumkan oleh delegasi daripada Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia dalam sesi sembah mengadap ke atas Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diadakan di Galeri DiRaja Arau.

Delegasi Al-Nidaa’ tersebut diketuai oleh Pengerusinya, Ustaz Shofwan Badrie Ahmad Badrie, bersama Timbalan Pengerusi, Shapizan Johari dan juga pengasas dan mantan Ketua Eksekutif pertubuhan iaitu Haji Zainuddin Alang Mamat serta 15 orang lagi wakil pertubuhan.

Dalam sesi mengadap itu, pihak Al-Nidaa’ turut mempersembahkan laporan berkaitan pelbagai aktiviti kebajikan, dakwah dan pendidikan yang telah dijalankan, serta impak dan pencapaian positif yang berjaya dicapai oleh pertubuhan itu kepada komuniti.

Selain itu, delegasi turut mempersembahkan perancangan strategik masa hadapan pertubuhan, merangkumi pelan jangka pendek dan jangka panjang yang dirangka bagi memperluas lagi manfaat dan memperkukuh peranan Al-Nidaa’ dalam pembangunan masyarakat secara menyeluruh.

Sebagai rekod, Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang pendidikan serta kerja-kerja kebajikan untuk insan dan komuniti termasuklah menjalankan pelbagai program, termasuk pengagihan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, keluarga miskin, ibu tunggal, saudara baru, anak yatim, dan orang kurang upaya (OKU).

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button