Nasional

Semak diri, jaga bahasa ketika berbahas – Rais Yatim

 

AHLI Dewan Negara perlu menuturkan kata-kata yang sopan setiap kali berucap dan berbahas walaupun mempunyai perbezaan pandangan dalam sesetengah perkara, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, Rais berkata ini kerana percakapan ahli Dewan ditonton oleh rakyat dan ia akan menjadi contoh terutama kepada golongan muda.

“Semak diri kita, berbudi bahasakah kita, jaga bahasakah kita semasa berhujah, hormatkah kita pada sistem dan molekkah bahasa yang dituturkan. Adakah bahasa kita ini boleh dicontohi oleh anak-anak kita,” katanya ketika berucap selepas mengangkat sumpah Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata setiap Ahli Dewan Negara mempunyai latar belakang profesionalisme ini dan ia perlu dicerminkan pada setiap tutur kata semasa di dalam Dewan.

Pada masa sama, katanya kedudukan Dewan Negara di Malaysia juga harus dimuliakan.

Rais berkata walaupun pemilihannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara mendapat sedikit tentangan, beliau berharap perkara itu tidak akan memberi masalah dalam sesi perjalanan Dewan tersebut.

“Pengalaman terdahulu, menentukan kita di sini…dalam 63 tahun yang lampau setiap calon yang dikemukakan Perdana Menteri yang berkuasa, tiada dengan cacat atau bantahan kecuali hari ini.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna kita tidak menuju perjuangan yang ulung, kita akan mengambil ini sebagai tanggungjawab bersama dengan ahli-ahli senat Dewan ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli Dewan yang memberi kepercayaan kepadanya memikul tanggungjawab itu.

Dalam pemilihan secara undi bersurat bagi menentukan Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 pagi tadi, Rais memperoleh 45 undi manakala seorang lagi calon Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff mendapat 19 undi manakala seorang tidak hadir.

Sementara itu, dalam sidang media, Rais berkata beliau mahu Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dikaji semula supaya ia menjadi kuasa berasingan dalam Perlembagaan negara.

Beliau berkata langkah itu perlu supaya Parlimen menjadi satu entiti yang teguh tanpa campur tangan daripada bidang kuasa lain.

“Kita akan lihat kembali Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 kerana setiap penasihat mesti ada pada setiap kuasa…ini kerana kita lihat ia bercampur iaitu ada kuasa Parlimen, Eksekutif dan penghakiman.

“Kita mahu kembalikan entiti Parlimen itu sendiri, mahukan Parlimen yang teguh dan dapat mewujudkan perkhidmatan yang sihat dan komprehensif,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli Dewan supaya tidak memainkan isu politik peribadi ketika Dewan Negara bersidang sebaliknya, utamakan hal-hal berkaitan dengan rakyat dan pembangunan negara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu yang dibangkitkan seorang ahli Dewan yang meminta beliau untuk meletak jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rais menjawab tiada sebab untuk beliau berbuat demikian.

“Tiada sebab untuk saya letak jawatan…jawatan dalam parti pun sekadar Penasihat. Yang Dipertua terdahulu Tan Sri S. A. Vigneswaran yang merupakan Presiden MIC juga tidak meletakkan jawatan, jadi perkara itu tidak relevan untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada kepimpinan UMNO yang turut menyokongnya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

“Walaupun mereka juga ada calon daripada parti mereka sendiri, tetapi pada saat-saat akhir nampaknya mereka memberi sokongan dan keyakinan kepada saya,” katanya.- BERNAMA

(Visited 233 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button