Nasional

Payung Rahmah memayungi rakyat, golongan B40

KERAJAAN Perpaduan mengambil berat akan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terutama mereka yang berada dalam kelompok B40 dan telah menghulurkan bantuan melalui inisiatif seperti Menu Rahmah, Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan demikian dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Kerajaan juga menekankan pendekatan Rahmah dalam membela nasib rakyat terutama golongan susah dan rentan.

Selaras dengan itu,  kerajaan memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada inisiatif-inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang meningkat.

Pada pembentangan Belanjawan 2023 kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan Program Jualan Rahmah dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN).

Program itu membolehkan rakyat menikmati harga barangan asas sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Sementara itu, seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Idayu, 48, berkata, kehidupan rakyat Malaysia ramai yang terjejas disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup.

“Dengan inisiatif Jualan Rahmah ini, sedikit sebanyak dapat membantu rakyat mendapatkan keperluan asas dengan harga yang jauh lebih murah,” katanya.

Beliau berkata beberapa langkah yang telah diambil oleh kerajaan nyata berjaya membawa kelegaan kepada golongan B40 atau golongan sasar.

Selain daripada Jualan Rahmah, kerajaan  turut memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah.

Objektifnya ialah menawarkan makanan siap dimasak iaitu nasi putih, satu jenis lauk dan sayur pada harga RM5 sahaja untuk makan tengah hari.

Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di sebuah universiti awam, Muhammad Muaz, 22, Menu Rahmah banyak membantu pelajar sepertinya berjimat.

“Sekarang kami tidak perlu lagi berbelanja sehingga RM100 seminggu hanya untuk membeli makanan. Kami hanya perlu berbelanja RM10 sahaja untuk makan sehari (tengah hari dan makan malam) dan menggunakan lebihan duit untuk perbelanjaan belajar,” katanya.

Menu Rahmah dan Jualan Rahmah tersedia di seluruh negara dan mudah diakses oleh rakyat.

Selain adanya Menu Rahmah, inisiatif Bakul Rahmah yang dijalankan oleh KPDN juga telah membantu mereka yang memerlukan.

Golongan yang kurang berkemampuan harus mengambil peluang yang telah disediakan oleh kerajaan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.

Permohonan bagi bantuan-bantuan yang disediakan juga adalah mudah dan cepat dengan proses yang lebih pantas dan mesra pengguna.

Untuk maklumat lanjut tentang Payung Rahmah, sila layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat – SM

 

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button